Seramai lapan rakyat Malaysia bertindak menyaman kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak RM60 juta berhubung dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian berikutan vaksin COVID-19.
Tuntutan saman sivil itu dikemukakan terhadap 25 defendan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.
Antara plaintif tersebut adalah seorang doktor mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu, selain seorang anak lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab sama.
Individu lain ialah lelaki yang isterinya didakwa meninggal dunia selepas mengambil dos pertama dan kedua.
Artikel berkaitan: AstraZeneca Akui Vaksin Mereka Ada Kesan Sampingan, Bakal Berdepan Saman Sehingga £100 Juta
Saman itu turut melibatkan seorang pekerja sebuah syarikat pengurusan amanah yang mendakwa diarahkan mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela kerana enggan mengambil vaksin.
Antara 25 defendan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech Ltd.
Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Adham Baba, selain Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dakwa wabak COVID-19 senjata biologi buatan manusia
Plaintif mendakwan WHO membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik COVID-19 pada 11 Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka membuat usul palsu dan mengelirukan mengenai wabak COVID-19,” kata kumpulan itu sambil mendakwa wabak itu sebenarnya senjata biologi buatan manusia yang dicipta di makmal dan sengaja dibuat untuk menyerupai selesema bermusim.
Justeru, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa COVID-19 adalah palsu, pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema bermusim.
Mereka juga meminta deklarasi mahkamah untuk memaksa Malaysia menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta menuntut ganti rugi am, khas dan teladan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 17 Februari tahun depan untuk pengurusan kes.
Sumber: Berita Harian