Sering kali kita membaca berita dan perkongsian orang ramai yang kehilangan duit selepas ditipu oleh pihak yang tidak dikenali. Individu yang menipu, atau dalam bahasa mudahnya ‘scammer’ mempunyai banyak cara untuk mengelirukan orang ramai, antaranya adalah menerusi perkongsian pautan URL.
Terbaharu, syarikat telekomunikasi di Malaysia telah mula memaklumkan berkenaan tentang fungsi yang menghalang pengguna daripada menghantar pautan URL menerusi SMS.
Ia adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan sebelum ini dan dikatakan akan bermula pada 2 Mei 2023 ini.
Bermula pada 2 Mei ini, sebarang mesej yang mempunyai pautan URL akan dihalang penghantaranya. Ini adalah salah satu usaha pihak kerajaan untuk mengekang serangan siber dan mengurangkan kebarangkalian orang ramai menjadi mangsa kepada ‘scammer’.
Sebagai langkah permulaan, penghantaran SMS dengan URL akan dihalang antara nombor telefon individu. Manakala, nombor perniagaan masih boleh menghantar SMS dengan pautan dengan menggunakan kod ringkas seperti 6XXXX, 2XXXX dan 1XXXX.
Bagaimanapun, penghantaran SMS dengan pautan oleh nombor perniagaan adalah terhad untuk sementara waktu, dan dijangka akan dihalang tidak lama lagi.
Apa pendapat anda tentang usaha ini?
Kredit: Maxis
BACA: Terpedaya Hingga Lesap Puluhan Ribu Ringgit, Wanita Dedah Taktik ‘Scammer’ Kerja ‘Part Time’