Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin membuka mulut tentang kesediaan beliau untuk menerima vaksin Covid-19.
Menurut Awani, beliau yang menggelarkan dirinya ‘Panglima Perang’ itu berkata sedemikian kerana ada pihak yang mempertikaikan keselamatan vaksin tersebut jadi beliau tidak kisah untuk menjadi individu pertama di Malaysia yang menerimanya.
Beliau turut berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses untuk mendapatkan vaksin itu memandangkan negara jiran kita dikatakan sudah memilikinya.
Saya dengar khabar bahawa vaksin ini sudah ada dan Indonesia sudah memeterai perjanjian dengan China dan negara-negara lain. Kenapa Malaysia belum? Kalau ada vaksin ini, keluarkanlah.”
Dan kalau perlu diuji awal-awal, sayalah orang pertama menawarkan diri, ujilah, saya tak takut. Saya mahu sihat.”
Terdahulu, pada 27 November lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan Malaysia memperoleh 12.8 juta dos bekalan.
Kata beliau, jumlah vaksin itu akan dapat memenuhi keperluan imunisasi bagi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini. Keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan rakyat yang berisiko tinggi.