Semenjak bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari UMNO, pelbagai spekulasi dan kebencian terhadapnya ditayang secara terang-terangan.
Antaranya termasuklah tularnya sebuah gambar isi kandungan buku teks yang tidak memaparkan nama Tun Mahathir sebagai salah seorang Perdana Menteri Malaysia di dalam sebuah karangan.
Namun kemuncak kepada kebencian tersebut meletus ketika sesi soal jawab di Program Nothing To Hide 2.0 semalam.
Insiden keganasan melampau hingga hampir mencederakan bekas Perdana Menteri tersebut bermula apabila salah seorang hadirin bertanya mengenai tragedi Memali di Kg. Baling yang meragut nyawa 14 orang kampung dan empat anggota polis, lapor Malaysian Digest.
Soalan yang diajukan berbunyi,
“Pada 19 November 1985 ada satu tragedi dipanggil tragedi Memali. Ramai yang tak tahu pada tarikh itu, pihak polis telah menyerbu Kampung Memali, Baling, Kedah untuk menangkap seorang individu bernama Ibrahim Abu ataupun Ustaz Ibrahim Libya.”
“Dan pada ketika itu, empat orang anggota polis telah terbunuh dan 14 orang kampung juga terbunuh. Soalan saya, Tun katakan mereka ini penjenayah, saya nak tanya Tun, penjenayah bagaimanakah mereka sedangkan mereka cuma ada buluh dan parang sahaja.
“Tolong jelaskan ‘tang’ mana penjenayah tu. Mereka ini rakyat Malaysia, Tun. Mereka orang Melayu, orang Islam. Bukan orang kafir, bukan orang Yahudi.”
Hmm isu panas ni!
Pun begitu Tun Mahathir dengan selambanya bertanya kembali, “Empat orang polis dibunuh, dengan tangankah?”
“Dengan serangan apa pun dia (polis) dibunuh. Apabila mereka (polis) dibunuh, balasan (kepada penduduk Memali) adalah dengan cara merekalah. Itu adalah SOP (Prosedur Operasi Standard) polis,” katanya lagi.
Sebaik sahaja selesai menjawab, tiga buah kasut dilaporkan melayang ke arah Tun Mahathir yang berdiri di atas pentas. Fuh gilalah!
Malah suasana tiba-tiba sahaja bertukar menjadi huru-hara apabila pihak keselamatan penganjur dan penyokong Parti Pribumi menyerbu ke arah individu yang membaling kasut tersebut.
Tidak cukup dengan itu, kerusi pula dilihat melayang ke udara dari bahagian penonton dan pihak pengajur lekas-lekas mengambil tindakan untuk membawa Tun Mahathir dan tetamu kehormat lain keluar dari dewan berkenaan untuk tujuan keselamatan.
Kekecohan masih juga tidak reda, malah ada di antara pihak hadirin yang tidak bertanggungjawab mula menyalakan suar api (flare) di tengah-tengah dewan yang membuatkan orang ramai lari bertempiaran.
Melalui rakaman video yang tular di laman Facebook, kelihatan dua buah suar api telah dinyalakan dengan sebuah suarkan lagi dinyala lebih kurang 10 kaki dari suar yang pertama oleh seorang individu yang tidak dikenali. Individu itu kemudian melemparkan suar tersebut kepada petugas media.
Berikutan insiden keganasan tersebut, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kejadian tersebut berunsur sabotaj dan bertujuan untuk mencederakan Tun Dr Mahathir.
Armada PPBM juga melaporkan telah mengesan individu yang membuat kacau tersebut. Mereka dikenalpasti sebagai bukan ahli Armada tetapi mengenakan baju T parti itu dan menyertai forum Nothing To Hide.
Menurut Syed Saddiq, mana-mana ahli parti yang diketahui bersekongkol dengan perbuatan politik gangsterisme ini akan dikenakan tindakan dan hukuman polis dengan serta merta. Baginya, yang mana salah tetap salah tanpa mengira mana-mana parti politik. Betul tu!
Dalam pada itu, pihak polis telah menahan tiga lelaki yang merupakan pelajar institut pengajian tinggi yang berusia antara 17 hingga 19 tahun. Namun sehingga jam 5.45 petang semalam, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian berkenaan.
Apa-apapun bawalah bertenang. Berforum dan berbincang elok-elok. Keganasan bukan jalan penyelesaiannya!