Persoalan keselamatan ketika dalam penerbangan lebih-lebih lagi sewaktu penularan wabak ini memasuki tahun kedua dibahaskan dan ianya bukanlah sesuatu yang baharu. Bila muncul pula varian terbaru ‘Omicron’, orang ramai dikatakan semakin ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan.
Walaupun mereka di industri penerbangan menegaskan bahawa risiko yang dihadapi oleh penumpang untuk dijangkiti semasa dalam penerbangan agak rendah. Namun beberapa kajian yang dijalankan pada 2020 mendapati sekurang-kurangnya terdapat 64 kes positif telah dicatatkan.
Menurut laporan Blomberg, kajian pada Mac 2021 mendapati 14% daripada sampel yang diperolehi dari 198 penerbangan di Lapangan Terbang Dubai mengandungi gen coronavirus. Dalam erti kata lain, sekurang-kurangnya terdapat seorang penumpang positif ‘terlepas’ dalam penerbangan.
Difahamkan, risiko untuk terkena jangkitan adalah lebih kurang sama untuk mana-mana pengangkutan awam kerana penumpang akan berada berdekatan antara satu sama lain terutamanya mereka yang mengharugi perjalanan lebih daripada 8 jam dengan individu yang telah dijangkiti.
Ini kerana, virus Covid-19 ini juga boleh disebarkan melalui zarah yang lebih kecil yang dikenali sebagai aerosol dan jangkitan boleh berlaku sekiranya penumpang menghirup udara yang mengandungi virus yang bersifat ‘airborne‘.
Namun, perlu diketahui semua pesawat terutamanya yang moden keluaran Airbus dan Boeing sejak tahun 1980 lagi telah dilengkapi dengan penapis HEPA yang boleh memerangkap zarah sekecil virus selain udara di kabin adalah campuran 50/50 antara udara luaran yang telah disteril dan udara ruangan kabin yang telah ditapis.
Ancaman Omicron
Umum ketahui bahawa varian Omicron sangat mudah merebak dan ini juga memberikan kesan terhadap industri penerbangan. Menurut penasihat perubatan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), penumpang berdepan risiko jangkitan dalam penerbangan sehingga dua ke tiga kali ganda sejak penularan varian ini.
Dalam masa yang sama, untuk mengurangkan risiko jangkitan, penumpang sentiasa perlu mengenakan pelitup muka selain memastikan mereka telah mendapatkan suntikan vaksin, dapatkan juga dos penggalak, tambahnya lagi.
Selain itu, risiko jangkitan sewaktu penerbangan juga boleh dikurangkan sekiranya penumpang mengekalkan jarak sejauh mungkin antara penumpang lain selain hanya membawa beg yang kecil untuk dibawa naik ke kabin.
Perlu diingatkan, jangkitan bukan sahaja boleh berlaku dalam penerbangan, tetapi seluruh kawasan lapangan terbang. Sebagai contoh ketika beratur di kaunter pendaftaran, kawasan pemeriksaan bagasi dan sebagainya.