Kementerian Pertahanan kini melangkah ke era baharu dengan pelbagai inisiatif strategik yang digariskan dalam penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 baru-baru ini oleh Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin.
Menteri Pertahanan menegaskan komitmen kementerian dalam memperkukuh kedaulatan negara melalui pemodenan aset, pembangunan industri tempatan, serta pembelaan nasib veteran.

Berikut adalah intipati utama yang digariskan oleh Kerajaan bagi tahun 2026:
LCS Pertama Dijangka Siap Akhir 2026
Menjawab isu projek kapal tempur pesisir (LCS) yang sering menjadi perhatian, Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa projek ini tidak diabaikan dan kapal pertama dijangka diterima pada akhir tahun 2026. Usaha pemodenan aset lain turut diteruskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026, yang merangkumi perolehan dua bateri sistem misil pertahanan udara jarak sederhana, dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS), serta sistem pelancar Surface to Surface Missile (SSM).

Setiap perolehan ini dilaksanakan mengikut pelan strategik perkhidmatan masing-masing iaitu Army4NextGen (Tentera Darat), Program 15-to-5 (TLDM), dan Program CAP55 (TUDM).
Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN)
Menyedari kepentingan kemandirian teknologi, Kementerian Pertahanan bakal melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) pada awal tahun 2026 yang merupakan dasar komprehensif pertama dalam sejarah Malaysia yang bertujuan membentuk ekosistem industri pertahanan yang mandiri dan berdaya saing.

Sebagai sokongan kepada dasar ini, sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV), Strategic Defence Management (SDM), telah ditubuhkan di bawah LTAT dan mula beroperasi sepenuhnya sejak Mei 2025 bagi menguruskan Program Kolaborasi Industri (ICP) . Program ICP kini diwajibkan bagi perolehan syarikat asing melebihi RM50 juta dan syarikat tempatan melebihi RM100 juta.
Berita Gembira Buat Veteran ATM
Dalam aspek kebajikan, Kerajaan memperuntukkan RM303.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi tahun 2026, di mana 90.47% daripadanya disalurkan terus untuk manfaat komuniti veteran.
Antara inisiatif utama termasuklah:
- Bantuan Khas Kewangan: RM28 juta diperuntukkan untuk memanfaatkan 232,000 veteran.
- Saguhati PJM: Pembayaran Penghargaan Khas Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 secara one-off kepada penerima pingat dengan peruntukan RM60 juta.
- Peluang Kerjaya: Program PROTÉGÉ Veteran diteruskan dengan bayaran elaun RM2,000 sebulan selama setahun untuk latihan penempatan pekerjaan.
Menteri Pertahanan turut menekankan bahawa veteran ATM bukan pesara awam biasa kerana pengorbanan jiwa dan raga mereka demi keamanan negara, justeru kebajikan mereka akan sentiasa dipelihara.
Artikel berkaitan : Program Work-Based Learning: Pengalaman Tentera Kini Diiktiraf Sebagai Diploma
Artikel berkaitan : TUDM Lonjak Keupayaan! Dari Drone ANKA, Teknologi Anti-Dron Pintar Hingga Jet F/A-18 Hornet
Menjelang musim banjir, ATM turut menyatakan kesediaan aset dan anggotanya melalui Op MURNI. Sebanyak 506 aset darat dan 7,355 aset perairan telah dipersiapkan bersama lebih 4,400 anggota untuk diatur gerak bagi membantu mangsa bencana di seluruh negara.
Penggulungan ini memperlihatkan keseriusan Kementerian Pertahanan dalam mengimbangi keperluan pemodenan ketenteraan dan tanggungjawab sosial terhadap warganya.
Sumber : Kementerian Pertahanan
