Penantian seorang bapa menunggu kepulangan anak sulung dan cucu perempuan sempena Aidilfitri berakhir dengan khabar duka apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Pulau Kerengga, Marang pada 19 April.
Menurut bapa mangsa, Abdul Ghani Sulong berusia 69 tahun, memaklumkan anaknya Subhi Sayuti, 43, ada menghantar pesanan di WhatsApp memberitahu mereka berhenti bersahur di Kijal, Kemamam, pada kira-kira 5 pagi.
Abdul Ghani kemudiannya ke surau untuk solat subuh sementara menanti ketibaan Subhi Bersama anak perempuan sulung, Syuhada Hafiya, 7.
“Lama saya menunggu namun Subhi yang ditunggu tidak kunjung tiba. Pada mulanya saya menyangkakan dia mungkin berhenti berehat.
“Begitupun, kami kemudiannya dikejutkan dengan berita arwah telah meninggal dunia dalam kemalangan manakala cucu saya kritikal pada pukul 10 pagi,” katanya kepada Kosmo!
Cucu meninggal di hospital
Abdul Ghani berkata, dia yang ketika itu sedang bersiap ke hospital sama kerana membawa isteri, Fatimah Karim, 65, yang menghidap kanser usus bagi janji temu untuk rawatan kemoterapi segera ke Jabatan Forensik.
Namun, berasa hiba apabila polis memaklumkan cucu sulungnya pula meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ujarnya lagi, menantu serta cucu bongsunya yang berada di Sandakan sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
“Ikut perancangan asal, arwah anak saya dan anak sulungnya sepatutnya beraya dengan kami di Taman Hidayah, Marang manakala isterinya dan anak bongsu mereka pula beraya di Sandakan, Sabah.
“Isterinya berhajat beraya di kampung halamannya kerana sepanjang perkahwinan mereka, belum dia pernah meraikan Aidilfitri di Sabah. Anak saya mengizinkannya,” katanya lagi.
Menurut laporan, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Rexton SsangYong.
Pelanggaran berkenaan menyebabkan Perodua Alza itu berpusing dan melanggar bahagian sisi hadapan sebelah kiri sebuah lagi kereta Perodua Kenari.
Baca: Tindakan Seorang Lelaki Bakar Mercun Atas Lebuh Raya Undang Kecaman Netizen