Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menggerakkan Skuad PERKESO Prihatin bagi menyalurkan bantuan segera kepada mangsa insiden letupan gas penghawa dingin yang berlaku di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pada Isnin lalu.
Hasil semakan pantas mendapati dua daripada mangsa yang cedera merupakan pencarum aktif di bawah skim LINDUNG Pekerja. Mangsa tersebut dikenal pasti sebagai:
- Teh Wee Leon (32 tahun): Seorang pensyarah.
- Liew Yeng Chen (55 tahun): Seorang kontraktor.

Isu Kegagalan Caruman Majikan
Di sebalik penyaluran bantuan tersebut, siasatan PERKESO mendedahkan terdapat tiga lagi mangsa cedera yang melibatkan kontraktor penyelenggaraan dan pekerja kantin yang tidak mempunyai sebarang caruman PERKESO.
Artikel berkaitan : Waris Mangsa Tragedi Kepala Air Pintasan Saloma Terima Faedah Sepanjang Hayat – PERKESO
Artikel berkaitan : 9.6 Juta Pencarum Dilindungi 24 Jam : PERKESO Perluas Jaringan Keselamatan Sosial Melalui LINDUNG 24/7
Pihak PERKESO menegaskan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan ke atas majikan yang terlibat bagi mengenal pasti punca kegagalan mereka mencarum untuk pekerja berkenaan. Bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, kes ini akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk bantuan susulan.

Terdahulu, tragedi menyayat hati ini telah mengorbankan satu nyawa, iaitu seorang pelajar berusia 24 tahun bernama Soo Yu Juan, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sembilan individu lain turut dilaporkan tercedera dalam insiden tersebut.
Pihak PERKESO berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mangsa dan keluarga dalam mengharungi situasi sukar ini. Sebarang maklumat lanjut mengenai skim perlindungan boleh didapati di laman web rasmi www.perkeso.gov.my.
Sumber : PERKESO
