Susulan Tragedi Kanjuruhan yang meragut nyawa ratusan penonton bola sepak di Indonesia baru-baru ini, banyak desas-desus mengatakan badan induk bola sepak dunia, FIFA akan mengharamkan penyertaan negara itu di peringkat antarabangsa.
Terkini, FIFA tidak jadi mengharamkan negara itu daripada menyertai mana-mana liga dan kejohanan antarabangsa. Perkara itu diumumkan sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo selepas bercakap dengan Presiden FIFA, Giani Infantino beberapa hari lalu.
Memetik laporan Al Jazeera, Presiden Jokowi berkata, beliau telah menerima surat daripada FIFA yang berkaitan perbualannya dengan Infantino pada 3 Oktober lalu.
Berdasarkan surat itu, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk berkolaborasi dengan FIFA dan Asian Football Confederation untuk menambah baik keselamatan di stadium bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.
Berita mengenai pengharaman Indonesia untuk menyertai kejohanan antarabangsa tercetus selepas tragedi yang meragut nyawa seramai 131 orang di Malang minggu lepas. Disebabkan kejadian itu, badan pengelola bola sepak Indonesia bimbang mereka akan dikenakan sekatan oleh FIFA kerana dianggap tidak mampu mengawal perlawanan dengan baik pada peringkat tempatan.
Sekiranya Indonesia diharamkan menyertai kejohanan peringkat antarabangsa, negara itu tidak akan menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2023 dan mereka juga tidak dibenarkan untuk menyertai Piala Asia 2023.
Untuk rekod, Tragedi Kanjuruhan berlaku selepas perlawanan antara Arema FC dan Perserbaya Surabaya pada hujung minggu lalu. Seramai 131 terkorban selepas berlakunya tolak menolak dalam kalangan penonton akibat panik kerana tembakan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.
Baca: ARMY Luar Biasa! Peminat BTS Indonesia Kumpul Lebih RM130k Buat Mangsa Tragedi Stadium Kanjuruhan