Beberapa hari yang lepas, seramai lebih daripada 150 orang pengunjung yang hadir ke parti Halloween di Itaewon telah terkorban dan menjadikan ia tragedi yang kedua terbesar pernah berlaku di Korea Selatan, turut mendapat perhatian dunia berkenaan tragedi menyedihkan itu.
Disebabkan kejadian itu, banyak barang peribadi mangsa tidak kira sama ada yang terkorban ataupun terselamat telah dijumpai di kawasan kejadian.
Polis kumpul barang peribadi mangsa seberat 1.5 tan
Menurut Harian Metro, pihak polis di sana telah bertindak untuk mengumpulkan semua barangan peribadi yang hilang tersebut di sebuah gelanggang badminton di ibu negara iaitu Seoul dan antara barangan yang dikumpulkan termasuklah kasut tenis, loafers dan kasut sneakers Chuck Taylors.
Difahamkan juga, barangan-barangan tersebut dianggarkan seberat 1.5 tan dan inisiatif itu dilakukan agar pemilik, atau kawan mahupun keluarga mangsa dapat datang membuat tuntutan.
Antara kutipan yang paling banyak dijumpai adalah 250 pasang kasut dan beratus helaian pakaian termasuklah kot musim sejuk dan kostum Halloween. Selain daripada itu, beg tangan juga turut ditemui bersama-sama dengan telefon bimbit, alat pendengaran Bluetooth dan juga beberapa pasport dari pelbagai negara.
Pegawai polis Yongsan berkata, gelanggang berkenaan akan dibuka 24 jam sehingga Ahad ini.
Setakat Selasa petang, 156 disahkan meninggal dunia dan 151 masih dirawat di hospital dengan 29 daripadanya masih dalam keadaan kritikal. Menurut kenyataan rasmi, antara 26 yang maut adalah warga asing dimana lima merupakan rakyat dari Iran, empat dari China, empat dari Russia, dua dari Amerika Syarikat dan dua lagi dari Japan.
Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan…
Baca: Insiden Di Itaewon Boleh Terjadi di M’sia, Netizen Imbas Kembali Situasi Sambutan Merdeka