Percutian sebuah keluarga sempena cuti sekolah bertukar tragedi apabila telinga anak autisme mereka yang berusia enam tahun putus digigit seekor kuda di sebuah ladang agro yang terletak di Seremban.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada 19 Januari lalu, namun videonya baru tular di media sosial selepas dimuat naik bapa mangsa.
Menerusi video tular itu, dapat dilihat seorang budak lelaki berdiri di depan sebuah kandang sebelum tiba-tiba diserang seekor kuda yang berada betul-betul di tepi besi penghadang.
Artikel berkaitan: “Tak dibius” – Wanita Kesal Bawa Berkhatan Cara Tradisional, Anak Alami Pend*rahan Teruk Selepas Bersunat
Video sama turut memaparkan kecederaan telinga mangsa dengan sebahagian daripadanya sudah terputus.
Bapa cerita kejadian sebenar
Bapa kepada budak lelaki itu, Suhaimi Mohd Rafi berkata, dia bersama keluarganya dari Kemaman, Terengganu bercuti ke Seremban selepas selesai urusan di ibu negara pada hari kejadian.
Menurutnya, ketika mereka sekeluarga berada di agrofarm terbabit, anaknya mahu melihat dan bergambar dengan kuda dan penjaga kuda memaklumkan ia boleh ditunggang dengan bayaran tiket.
“Saya benarkan anak menunggang kuda sambil dikawal penjaga. Sebaik selesai, penjaga kandang memanggil kami untuk bergambar dalam kawasan berpagar tempat menunggang. Kami bersetuju dan bergambar bersama isteri.
“Anak yang teruja mendekati kawasan kandang di kawasan berpagar itu dan minta saya mengambil gambar serta video. Secara tiba-tiba seekor kuda yang berada dekat dengannya menggigit telinga anak.
“Dalam masa sama, kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera, manakala cuping telinga kiri terputus,” katanya.
Dalam keadaan panik, dia membawa anak ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan segera dan turut mejalani pembedahan pada malam tersebut.
Dinasihat dapatkan pampasan RM5,000 tapi…
Kata Suhaimi, dia ada menghubungi pemilik agrofarm mengenai kejadian itu namun lelaki yang dihubunginya bercakap kasar kepadanya.
Kemudian, seorang wakil daripada agrofarm tiba di hospital dan berjanji untuk membayar pampasan.
Namun selepas hari ketiga anaknya dibenarkan keluar wad, pihak agrofarm memaklumkan mereka hanya mampu membayar RM500 sahaja.
“Kos rawatan RM10,400 dan ditanggung pihak insurans. Selepas berbincang dengan peguam, saya dinasihatkan supaya mendapatkan pampasan sebanyak RM5,000.
“Bagaimanapun, pihak agrofarm memaklumkan hanya mampu membayar sebanyak RM500 sahaja. Saya sangat kesal dengan pihak agrofarm ini kerana sehingga kini mereka belum bayar satu sen pun sedangkan sudah berjanji,” katanya.
Difahamkan, anaknya kini dalam keadaan stabil dan telinganya selamat disambung, namun masih dalam keadaan trauma.
Dalam pada itu, Suhaimi menepis tuduhan netizen menyalahkannya kerana membenarkan anak mendekati kuda. Jelasnya, pekerja di sana yang membenarkan mereka untuk masuk ke kawasan berpagar kerana dianggap selamat.
Sumber: Berita Harian