Tujuh pelajar tahfiz maut manakala tujuh lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Telekung, Kuala Krai pagi tadi.
Menurut Harian Metro, kesemua mangsa merupakan pelajar dari Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang berusia antara 14 dan 18 tahun.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mereka di dalam perjalanan ke Stadium Sultan Muhammad IV bagi menghadiri Program Tadarus Ramadan yang dianjurkan kerajaan negeri.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 pagi.
Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 28 minit untuk mengeluarkan mangsa dari van yang remuk itu.”
Kesemua mayat dilaporkan sudah pun berada di hospital untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Krai dan Machang untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu berlaku.
Pemilik rumah itu ketika ditemu ramah memberitahu semasa kejadian dia bersama keluarga sedang berehat di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di hadapan rumah dan merasakan gegaran.
Kami keluar terkejut melihat van dalam keadaan terbalik di hadapan rumah. Saya terus bergegas dan terkejut melihat lebih 10 remaja berada di dalam van berkenaan.”
Dia yang tergamam tidak mampu berbuat apa-apa sebelum orang awam datang dan membantu mengeluarkan mangsa.
Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa kemalangan ini. Al Fatihah.
Baca: Tiga Maut Selepas Perodua Viva Dipandu Terbabas Langgar Kereta Dari Arah Bertentangan