Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) tampil menjelaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak pernah merancang, meluluskan atau terbabit dalam sebarang kempen dikenali sebagai ‘Operasi Menangkap Pelajar Kelantan’ yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu kenyataan, MPP Universiti Utara Malaysia turut menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam mana-mana kempen yang bersifat diskriminasi atau menyasarkan pelajar daripada mana-mana latar belakang.
Menurut MPP UUM, penggunaan nama mereka sebagai pihak “anjuran” dalam hantaran berkenaan disifatkan sebagai tidak beretika serta satu pelanggaran serius terhadap integriti perwakilan pelajar.
“Kandungan seperti ini tidak wajar dianggap sekadar gurauan kerana ia berpotensi mencetuskan sentimen kenegerian yang negatif dan menjejaskan keharmonian serta semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus,” jelas kenyataan itu.

Artikel berkaitan: Banjir Di Hatyai: 36 Pelajar Dan 4 Pensyarah UUM Antara Yang Terkandas
Artikel berkaitan: Pengambilan Pelajar Terlebih, 1000 Pelajar UUM Terpaksa Tidur Di Surau Dan Koridor
Susulan penularan tersebut, MPP UUM menuntut individu atau pihak terlibat agar segera menghentikan penyebaran hebahan berkenaan serta memadam kandungan yang mengaitkan kempen itu dengan perwakilan pelajar universiti tersebut bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.
Dalam masa sama, MPP UUM memberi amaran tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu kepada pihak pengurusan universiti sekiranya nama dan identiti mereka terus disalahgunakan, selaras dengan peraturan tatatertib pelajar yang berkuat kuasa.
MPP UUM turut menasihatkan para mahasiswa supaya lebih berwaspada dan hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi perwakilan pelajar bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
Sumber: Malaysia Gazette
