Keluarga kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental dibelasah oleh orang awam di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di Kemaman, Terengganu baru-baru ini bertekad untuk tidak menarik laporan polis dan akan mengambil tindakan saman ke atas pelaku.
Jelas Faridah Abdul Karim, 44, setakat ini pihaknya belum menerima mana-mana permohonan maaf susulan insiden menimpa suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.
Artikel berkaitan : “Hilang ingatan kerana alami komplikasi” – Wanita Kongsi Detik Ibu Jadi OKU Lepas Bersalin Anak Ke-18
Artikel berkaitan : “Suami dah banyak kali mohon maaf” – Isteri OKU Dipuk*l Anggap Pelaku Tak Berhati Perut
“Sehingga kini tiada yang datang berjumpa untuk memohon maaf kepada kami sekeluarga, cuma saya ada terima panggilan telefon salah seorang daripada mereka.”
“Saya sebagai isteri tidak sanggup berjumpa mereka pun saya belum sedia. Sukar untuk saya maafkan dan tidak sesekali maafkan kerana mereka bertindak di luar batas kemanusiaan, sedangkan suami saya telah berkali-kali minta maaf.”
“Mereka tahu suami saya OKU kategori mental, namun tetap memukul tanpa belas kasihan dan sehingga kini kami sekeluarga trauma, saya sendiri sukar melelapkan mata selepas kejadian itu,” kata Faridah ketika ditemui pemberita dan kunjungan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin di Kuala Ibai.
Dalam pada itu, Faridah juga ada turut berbual bersama Ahmad Zahid menerusi panggilan video. Ahmad Zahid turut menasihati ibu kepada lima anak itu agar terus tabah dan tidak patah semangat mengharungi ujian itu.
“Saya telah melihat video tular tersebut dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya harap dia cepat sihat dan apabila keluar (dari hospital) nanti, keluarga akan terus menjaganya dengan baik terutama ketika situasinya tidak stabil.”
Jumaat lalu, tular video seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tani tersebut. Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Sumber : Sinar Harian