Kebelakangan ini, kecoh tentang pesta gay di Kelantan namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menidakkan perkara itu dan menyatakan ia merupakan program kesedaran HIV.
Terbaru, polis Kelantan menegaskan serbuan dilakukan di sebuah banglo terhadap perjumpaan LGBT bulan lalu adalah adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah, tanpa sebarang niat diskriminasi.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ketika serbuan, tiada wakil penganjur daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi berkenaan.
Artikel berkaitan: KKM Sahkan ‘Parti Songsang’ Di Kelantan Sebenarnya Program Kesedaran HIV
Artikel berkaitan: “Siap jumpa kondom dengan bahan pelincir” – Suami Kena Penjara Sebab Cuba Buat Seks Sejenis Dekat Parti Songsang
Beliau berkata tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program berkenaan mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti.
“Maklumat diterima oleh PDRM Kelantan mendapati satu perjumpaan dan pesta gay akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Hasil risikan dan temu bual awam yang dijalankan oleh Pasukan Task Force PDRM Kelantan, jemputan itu dilakukan melalui WhatsApp dalam kumpulan tertentu.
Kandungan jemputan itu antara lain bertulis ‘Program Gathering Komuniti Majlis Malam Mesra Komuniti & Santai-Santai’ dan acara untuk jemputan itu adalah ‘Chill-chill membawang dan makan-makan’,” katanya.
Malah, hasil risikan polis juga mendapati, kandungan jemputan itu tidak menyatakan pembabitan atau penganjuran daripada mana-mana badan rasmi seperti NGO, Klinik Kesihatan atau KKM.
Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit juga kesemua mereka ini mendapati tiga daripada mereka memiliki video lucah membabitkan hubungan sesama jenis.
“Sebahagian daripada mereka juga mengaku pernah membabitkan diri dalam aktiviti seks sejenis. Ketiga-tiga lelaki yang memiliki bahan lucah berkenaan sudah dituduh mengikut Seksyen 292 kanun keseksaan dan sudah mengaku bersalah.
Tujuan utama PDRM (melakukan serbuan) adalah menjaga ketenteraman awam dan juga nilai moral masyarakat.
Pihak polis berharap penjelasan ini dapat menepis kekeliruan serta spekulasi yang tular. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa demi keharmonian negeri ini,” katanya.
Sebelum ini, KKM mengesahkan program yang diserbu polis Kelantan bulan lalu sebenarnya program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.
Sumber: Harian Metro