in

“The best PM we never had” – Kenali Tun Dr. Ismail, Tokoh Luar Biasa Yang Hampir Jadi Perdana Menteri Malaysia

Collage 4

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam 2 Ogos 2023, genap 50 tahun Tun Dr. Ismail meninggal dunia. Tokoh politik ini pernah menjadi orang terpenting dalam pentadbiran negara sehinggakan namanya diabdikan di banyak tempat di Malaysia seperti Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Jadi hari ini kita akan ceritakan mengenai tokoh luar biasa ini dan sumbangannya kepada negara. Jom kenali siapa Tun Dr. Ismail ini.


Latar belakang Tun Dr. Ismail

Ismail Abdul Rahman

Dilahirkan pada 4 November 1915, Tun Dr. Ismail ini merupakan anak kepada Speaker Dewan Negara pertama dan pemimpin Orang Tujuh Muar yang mendesak Sultan Johor menarik balik sokongan terhadap penubuhan Malayan Union, Datuk Abdul Rahman Mohamed Yasin.

Anak kelahiran Johor Bahru ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah sebelum menyambung pelajarannya ke English College Johor Bahru. Selepas lulus dengan cemerlang, beliau telah melanjutkan pelajaran di King Edward College of Medicine di Singapura namun gagal.

Bapanya yang mahu beliau menjadi seorang doktor kemudiannya telah menghantar Dr. Ismail ke The University of Melbourne, Australia. Di sana, beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1945 dan mengharumkan nama Malaysia selepas menjadi anak Melayu pertama yang lulus di universiti tersebut.

Selepas pulang ke Malaysia, Dr. Ismail telah berkerja sementara di Hospital Johor Bahru sebelum membuka klinik perubatannya sendiri yang diberi nama Klinik Tawakkal.

Politik

Tun Dr. Ismail telah menceburi bidang politik pada 1951 selepas dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno. Beliau juga merupakan antara ahli rombongan perwakilan Persekutuan Tanah Melayu ke London untuk berunding dengan British bagi menetapkan syarat kemerdekaan.

Bawa keris ke PBB

Kurang sebulan selepas negara kita mendapat kemerdekaan, pada 17 September 1957, Malaysia telah menjadi negara Komanwel terbaru untuk menyertai Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) dan Dr. Ismail telah dilantik menjadi duta pertama mewakili Malaysia ke PBB dan Amerika Syarikat.

Ketika menghadiri perhimpuanan PBB itu, Dr. Ismail telah menjadi tumpuan ramai apabila beliau dengan bangganya telah memakai busana Melayu lengkap dengan tengkolok. Tak cukup dengan itu, beliau juga merupakan orang pertama yang membawa senjata ke Perhimpunan Agung PBB apabila beliau turut menyematkan keris di pinggangnya dan turut berkata dalam ucapannya di sana:

Kemasukan kami ke dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu merupakan satu perkara yang menakjubkan. Kita semua memakai kostum negara – atau sekurang-kurangnya di antara kita yang ada kostum negara.

Sebagai tambahan, saya juga turut menyematkan keris di pinggang saya dan ini merupakan senjata pertama yang dibawa masuk ke dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.”

Kalau korang nak tahu, tujuan Dr. Ismail membawa keris ini bukan sebab ia sebahagian dari busana Melayu tau, ia merupakan satu kenyataan yang ingin dibuat oleh tokoh ini untuk mengatakan Malaysia tidak akan berpihak kepada mana-mana negara yang sedang berperang, sama ada negara-negara barat, Amerika mahupun Komunis Rusia.

Tak cukup dengan itu, beliau juga tak takut untuk memperdebatkan isu-isu penting seperti kesan penjajahan kepada negara-negara seperti Asia, Afrika dan Timur Tengah. Menurutnya, penaklukan pihak penjajah telah menyebabkan negara-negara yang dijajah digunakan sebagai gadaian dan juga persaingan ideologi. Beliau turut menggunakan peribahasa Melayu ketika berhujah:

Gajah berjuang, rumput juga yang berasa” – Tun Dr. Ismail.

Selepas pulang ke Malaysia, Dr. Ismail telah dilantik sebagai Menteri Luar sehingga tahun 1960 sebelum menjadi Menteri Dalam Negeri bagi mengetuai ISA ketika tempoh darurat.

Pada tahun 1966, Dr. Ismail telah dianugerahkan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia (Tun) sekaligus menjadikan beliau orang pertama yang mendapat anugerah tersebut.

Namun selepas mengalami masalah kesihatan jantung, Dr. Ismail telah bersara dari bidang politik pada tahun 1967. Namun disebabkan peristiwa berdarah 13 Mei Tun Abdul Razak telah memintanya untuk menjadi Menteri Dalam Negeri semula.

Beliau merupakan hero pada ketika itu selepas berjaya meyakinkan orang Melayu dan orang Cina untuk percaya kepada kerajaan semula sekaligus memastikan Malaysia aman semula. Pada masa yang sama beliau turut menjadi Penolong Pengarah dalam Majlis Perundingan Negara sehingga terhasilnya Rukun Negara.

Ketika hari-hari yang menyedihkan itu, kualitinya yang luar biasa terserlah. Malah boleh dikatakan, Tun merupakan penyumbang terbesar yang memulihkan kembali keyakinan orang ramai terhadap keazaman kerajaan untuk memulihkan ketenteraman dan undang-undang selepas insiden 13 Mei.” – Tun Suffian

Semasa hayatnya, beliau turut menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan jawatan terakhirnya merupakan Timbalan Perdana Menteri menjadikan Dr. Ismail sebagai TPM kedua selepas Tun Abdul Razak.

Pemergian Tun Dr. Ismail

Tun Dr Ismail Abdul Rahman 1690939499

Pengorbanan saya kepada negara ini lebih banyak dari pengorbanan yang saya buat untuk diri saya atau pun keluarga.” – Tun Dr. Ismail

Tak lama selepas menyandang jawatan sebagai TPM, Tun Dr. Ismail telah disahkan menghidap kanser leher namun enggan berhenti dari dunia politik walaupun didesak oleh keluarganya.

Sekitar tahun 1972, beliau telah mengalami siri serangan jantung dan merancang untuk meletak jawatan selepas Tun Razak pulang dari Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel di Ottawa, Kanada.

Pada 2 Ogos tahun yang sama, beliau merasmikan Sambutan Jubli Perak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Kemudian beliau ke Hospital Lady Templer, Cheras untuk menziarahi isterinya sebelum pulang ke rumah. Malam itu, beliau mengalami serangan jantung kronik.

Doktor yang datang ke rumahnya telah cuba untuk menyedarkan beliau selama 5 jam sebelum Dr. Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10 malam. Beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara dan merupakan orang pertama yang dikebumikan di sana.

Al-fatihah…

Sumber: Awani

 

Baca: Dawn Raid: Malaysia Rampas Guthrie Dari British, ‘Heist’ Paling Besar & Epik Dalam Sejarah Negara

Collage 26

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.