Parlimen Thai baru-baru ini telah melantik perdana menteri termuda dalam sejarah negaranya, Paetongtarn Shinawatra pada Jumaat lepas.
Selain itu, Paetongtarn juga merupakan perdana menteri wanita kedua yang pernah dilantik selepas makciknya selepas satu undian telah memecat perdana menteri sebelum ini Strettha Thavisin.
Jom ketahui kenapa dorang pecat perdana menteri dorang dan kenali perdana menteri termuda di Thailand ini.
Artikel berkaitan: 15 Tahun Hidup Dalam Buangan, Bekas PM Thailand Dipenjara 8 Tahun Lepas Pulang Ke Tanah Air
Artikel berkaitan: 5 Insiden Rampasan Kapal Terbang Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah Penerbangan, M’sia Pun Pernah?
Kenapa Srettha Thavisin dibuang sebagai perdana menteri?
Hakim Mahkamah Perlembagaan telah membuat undian selepas menerima petisyen yang diserahkan oleh 40 senator untuk membuang Srettha dari Parti Pheu Thai.
Mereka telah memfailkan aduan mengenai keputusan Srettha untuk melantik bekas peguam Pichit Chuenban yang pernah dipenjarakan selama enam bulan pada tahun 2008 kerana menghina mahkamah selepas dia dituduh cuba memberi rasuah kepada pegawai mahkamah dengan bayaran 2 juta baht yang diletakkan di dalam beg kertas.
Senator ini mengatakan bahawa perlantikan ini menunjukkan bahawa Srettha gagal mengekalkan standard etika dan moral. Srettha kemudiannya telah dibuang secara rasmi selepas undian majoriti bersetuju untuk memecatnya dari jawatan tersebut. Dia merupakan perdana menteri Thai keempat dalam 16 tahun untuk dibuang oleh Mahkamah Persekutuan.
Siapa Paetongtarn Shinawatra?
Paetongtarn merupakan anak bongsu kepada billionaire Thailand, Thaksin Shinawatra iaitu pengasas parti Pheu Thai. Dia telah dilantik dengan mudah selepas parti dan sekutunya memegang kerusi majoriti parlimen iaitu sebanyak 314 dari 493. Dia juga hanya memerlukan separuh undian daripada penggubal undang-undang terkini untuk menjadi perdana menteri.
Paetongtarn pernah menerima pendidikan di salah sebuah institusi konservatif elit bernama Universiti Chulalongkorn di Bangkok. Selepas itu, dia telah membantu menguruskan perniagaan empayar hotel keluarganya sebelum menceburkan diri dalam bidang politik tiga tahun lalu.
Kerjaya politiknya bermula pada 2021 apabila dia telah menjadi Ketua Jawatankuasa Penasihat Kemasukan dan Inovasi parti Pheu Thai.
Dia telah melahirkan anak keduanya dua minggu sebelum pilihanraya 2023 di mana dia telah berjaya memenangi pilihanraya tersebut.
Paetongtarn merupakan orang ketiga dari keluarganya yang berjaya memegang jawatan sebagai perdana menteri. Bapanya, Thaksin telah menjadi perdana menteri ketika bersama Parti Thai Rak Thai pada tahun 2001 sebelum dia disingkirkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006.
Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra telah menjadi perdana menteri pada 2011 sehingga dia disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 2014 selepas dia memecat Thawil Pliensri dari Majlis Keselamatan Negara pada 2011. Ia diikuti pula dengan satu lagi rampasan kuasa tentera berikutan kemelut politik selama berbulan-bulan di Thailand pada 2014.
Thaksin dan Yingluck telah meninggalkan Thailand bagi mengelak dari ditangkap sehinggalah Thaksin pulang ke negara itu semula pada tahun 2023.
Situasi politik di Thailand
Perlantikan Paetongtarn ini telah dibuat ketika berlakunya pertempuran panjang di antara penubuhan tentera pro-diraja dan parti populis yang dikaitkan dengan parti Pheu Thai.
Selepas tentera berjaya merampas kuasa pada tahun 2014, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengatakan yang dia terpaksa masuk campur bagi mengakhiri perpecahan politik dan kerajaan yang tidak berfungsi. Kemudian, pada tahun 2017, kerajaan tentera telah memperkenalkan perlembagaan baru.
Tentera kekal berkuasa sehingga 2019 apabila pilihanraya pertama diadakan selepas ditangguhkan untuk satu jangka masa yang panjang.
Di bawah pimpinan Srettha, parti Pheu Thai pada 2023 telah bekerjasama dengan tentera yang sama merampas kerajaannya pada tahun 2014.
Sebelum itu pula, parti pro-demokrasi ini telah membuat pakatan dengan Parti Move Forwads (MFP) tapi MFP telah mengabaikan gabungan ini tiga bulan sebelum pilihanraya 2023.
MFP yang mempunyai pegangan tegas terhadap sistem beraja telah memenangi kerusi majoriti terbanyak pada pilihanraya 2023 namun telah dihalang dari membentuk kerajaan oleh tentera yang dilantik oleh Senat. Pheu Thai kemudiannya telah membentuk kerajaan.
Mahkamah Perlembagaan kemudiannya telah membubarkan MFP pada 7 Ogos tahun ini dan melarang ahli lembaga politiknya untuk bertanding untuk 10 tahun selepas mereka berjanji untuk meminda undang-undang fitnah diraja yang ketat.
Apa polisi Paetongtarn?
Ketika berkempen untuk pemilihan sebagai calon perdana menteri tahun lalu, Paetongtarn berjanji untuk mengurangkan tambang pengangkutan awam di Bangkok, meluaskan perlindungan penjagaan kesihatan dan menggandakan gaji harian minimum.
Di penggal pertama Paetongtarn sebagai perdana menteri, dia perlu menghadapi ekonomi Thailand yang tengah tak menentu, populariti partinya yang semakin merundum serta kebangkitan parti pembangkang di mana sejak pembubaran MFP, ia telah membentuk parti baru yang dipanggil sebagai Parti Rakyat.
Sumber: Al-Jazeera