Baru-baru ini, seorang individu yang dikenali sebagai Siti Nur Aqirah, telah berkongsi kisah mengenai kerinduan yang tiada penghujung bapanya, Mat Nasir terhadap isterinya yang baru sahaja meninggal dunia pada 16 Mei lalu.
Menurut Aqirah, pemergian ibunya itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka adik-beradik, bagaimanapun ia sudah pasti lebih dirasai oleh bapanya yang telah berkongsi hidup hampir 40 tahun bersama wanita itu.
Aqirah memberitahu, ayahnya itu membeli nasi lemak untuk cinta hatinya namun, dia hanya mampu termenung melihat katil kosong milik isterinya itu sebelum mengalirkan air mata.
“Abah beli nasi dan mungkin dia terlupa yang cinta hatinya iaitu maa (ibu) sudah tiada. Abah lihat katil maa lama sangat, kemudian dia menangis.”
“Saya tahu abah sangat rindukan maa dan itu kali pertama saya lihat abah menangis seperti itu kerana dia bukan seorang yang senang mengalirkan air mata,” jelas Aqirah.
Tambahnya lagi, dia akui kesedihan bapanya itu bukan kerana tidak reda dengan pemergian ibu, sebaliknya dia menerima kehilangan insan tersayang dan memerlukan masa untuk menghadam segalanya yang telah berlaku.
“Selepas maa meninggal dunia, abah memang nampak agak sugul dan sememangnya sebelum ini, setiap pagi dia akan keluar beli nasi untuk maa.”
“Hari kedua maa tiada, abah buat rutin itu seperti biasa dan mungkin dia terlupa bahawa cinta hatinya sudah tiada,” kata Aqirah.
Difahamkan, arwah ibu Aqirah telah sakit sejak tujuh tahun lepas yang menyebabkan ayahnya tidak pernah meninggalkan wanita itu dan sentiasa berada di sisinya. Kini, Aqirah dan adik beradiknya tidak meninggalkan ayah mereka keseorangan dan keadaan Mat Nasir dilihat semakin baik.
Betul orang kata ambil masa untuk ubat hati yang berduka..
Sumber : Harian Metro
Baca : Ramai Sebak Lihat Anak Perempuan Ridzuan Hashim Kongsi Gambar Lama Dengan Ayah