Seorang pelajar perempuan tingkatan dua ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah menengah di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.
Menurut laporan, pihak sekolah menghubungi ambulans selepas menemukan mangsa yang tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah itu.
Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengenai kejadian terbabit pada jam 5.57 petang.
Artikel berkaitan: Pelajar Maut Terjatuh Tingkat Empat Bangunan Sekolah, Polis Ambil Keterangan Saksi
Artikel berkaitan: Pelajar U Tempatan Maut Terjatuh Tingkat 34 Gara-gara Cuba Ambil Sehelai Baju Tersangkut Di Balkoni
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan di tingkat lapan bangunan berkenaan telah menemui nota yang ditinggalkan mangsa sebelum mayatnya ditemui di pekarangan bawah.
“Kita ada jumpa nota atas bangunan itu (lokasi mangsa terjatuh). Dia mengalami tekanan belajar. Bedah siasat ke atas mayat pelajar itu kini sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan proses bedah siasat sedang dijalankan di HPP.
Mengulas lanjut, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis serta menularkan gambar atau video lokasi kejadian bagi menghormati perasaan waris mangsa.
Sumber: Kosmo!