in

Terpaksa ‘Ponteng’ Sekolah Setahun Sebab Jalani Rawatan Kanser, Pelajar Berjaya Raih Semua A Dalam SPM

raih semua a spm hidap kanser

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Setiap manusia pastinya mempunyai ujian hidup tersendiri. Ada yang diuji dengan kesenangan dan kesempitan hidup, ada juga yang mempunyai masalah kesihatan.

Ditimpa dugaan menghidap kanser limfoma bukanlah penghalang bagi seorang pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini mendapat keputusan straight A’s.


Memetik laporan Sinar Harian, Mohamed Adam Baihaqi Mohamed Zadro, 19, yang merupakan pelajar terbaik SPM di SMK Bachok membuktikan dirinya mampu memperoleh semua A walaupun jarang hadir ke kelas kerana perlu berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan selain terpaksa ‘ponteng’ selama setahun.

Artikel berkaitan: Kisah Pengorbanan Pelajar Raih 11A SPM Sambil Jaga Ibu Hidap Sakit Saraf, Buat Ramai Sebak

Artikel berkaitan: Belum Lagi Ambil SPM, Pelajar Cemerlang Di Sekolah Cina Sudah Dapat Tawaran Dari Universiti

Walaupun perlu mengikuti enam kemoterapi sehingga gugur rambut, Mohamed Adam Baihaqi berkata perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk mengambil peperiksaan SPM.

“Saya pernah terfikir tidak sempat menduduki SPM dan akan meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023.”

“Selepas terpaksa ponteng sekolah selama setahun kerana perlu fokus kepada rawatan di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II), melihat rakan-rakan sekelas sudah menduduki SPM dan menyambung belajar, pada waktu itu saya rasa sangat sedih.”

493273145 9760896650666526 6617465279510608576 n

Menurut Mohamed Adam Baihaqi, selepas disahkan bebas kanser pada Julai 2024, dia diberi peluang untuk hadir ke sekolah serta menduduki peperiksaan SPM.

Katanya, dari situlah dia mula menanam azam untuk berjaya dalam SPM dan meraih keputusan cemerlang sekali gus mengejar cita-cita untuk menjadi seorang guru.

Setiap hari, dia mengulang kaji pelajaran sambil mengingati pengorbanan ibu bapanya, Mohamed Zadro Mohd Salleh, 50, dan Suzila Abdullah, 47, yang tidak pernah berkira soal rawatan anak mereka.

“Untuk mengubati kanser perlukan wang yang banyak, ayah dan ibu hanya bekerja biasa. Bagaimanapun mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya, dari situlah semangat untuk mengulangkaji bersungguh-sungguh hadir.

“Alhamdulillah, rakan-rakan serta guru-guru banyak membantu sehingga saya berjaya memperoleh semua A dalam tujuh mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan Islam dan Sains,” katanya.

Mohamed Adam Baihaqi menyatakan hasratnya untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kejayaannya dalam SPM ini merupakan hadiah untuk ayah, ibu dan semua yang menyokongnya.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.