Pemergian Zara Qairina Mahathir yang merupakan seorang pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah benar-benar meninggalkan kesan yang dalam pada rakyat Malaysia. Kisah tragis ini bukan sahaja mengundang rasa pilu, malah turut mencetuskan gelombang solidariti di seluruh negara buat arwah.
Berikut kronologi penuh kes Zara Qairina yang mendapat perhatian ramai ini…
Penemuan Zara Qairina
Pada 16 Julai sekitar jam 3 pagi, Zara Qairina telah ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kepala terkulai dalam longkang, kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kirinya pula terlipat dalam keadaan pelik. Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan segera dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah untuk menerima rawatan.
Pengesahan kematian Zara Qairina
Keesokan harinya, Zara Qairina disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital. Doktor memaklumkan bahawa otak Zara Qairina tidak lagi berfungsi akibat kecederaan dalaman yang sangat teruk.
Menurut laporan Sinar Harian, terdapat dakwaan mengatakan pegawai penyiasat telah berjumpa dengan ibu arwah Zara Qairina untuk menerangkan keperluan menjalankan bedah siasat, namun laporan mengatakan ibu mangsa mahu menyegerakan pengebumian anaknya kerana sudah lama menderita. Oleh itu, arwah dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
Perkara ini juga telah dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Saifuddin Nasution Ismail kemudian setelah kes ini menjalankan siasatan, yang mana beliau berkata, pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
“Dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), ia dianggap tidak patuh, telah ditegur dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” ujar beliau.
Ahli Parlimen nafi isterinya berkait dengan kes kematian Zara Qairina
Terdapat dakwaan yang tular di media sosial bahawa isteri Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud iaitu Datin Rosnih Nasir merupakan pengetua sekolah SMKA Tun Datu Mustapha ketika insiden berlaku.
Mengikut laporan Berita Harian, Datuk Mustapha Sakmud terpanggil untuk memberi respons kepada fitnah yang mengatakan isterinya terlibat dengan insiden kematian arwah Zara Qairina.
“Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, adalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
“Beliau hanya berkhidmat di sekolah berkenaan dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan.
Menurut perkongsian Datin Rosnih Nasir, beliau menafikan sekeras-kerasnya sebarang fitnah terhadap dirinya dalam insiden kematian arwah Zara Qairina.
Beliau juga mengatakan bahawa beliau sudah menamatkan perkhidmatan pendidikan sebelum insiden berlaku di samping meluahkan rasa sedih sebagai seorang ibu dan juga pendidik dengan pemergian arwah.
60 individu telah diambil keterangan
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, seramai 60 orang individu, termasuk dengan nama-nama yang didedahkan di media sosial iaitu Kak Wana, Kak Dedeng dan seorang tomboi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Buat masa sekarang kertas siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
“60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Itu juga telah diambil kenyataan (tiga nama didakwa di media sosial), setakat ini (nama didakwa) memang ada, sebagai pelajar.”
Himpunan solidariti
Susulan kes ini semakin mendapat perhatian semua pihak, lokasi seperti Tawau, Sandakan dan Lahad Datu telah dijadikan sebagai lokasi perhimpunan solidariti. Himpunan itu bermula dari jam 7 malam dengan jumlah kehadiran yang sangat ramai sebagai tanda sokongan solidariti kepada Zara Qairina.
Slogan #JusticeForZara dilaungkan beramai-ramai dengan harapan ia dapat perhatian pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam insiden buli sehingga menyebabkan kematian arwah Zara Qairina.
Menurut penganjur, himpunan ini diadakan secara aman dan pihaknya menyeru orang ramai untuk terus menyuarakan keadilan buat arwah Zara Qairina.
Kubur Zara Qairina digali
Namun pada 1 Ogos, ibu arwah Zara Qairina telah membuat permohonan untuk kubur anaknya digali semula bagi tujuan membuat siasatan lanjut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses ini dilakukan selepas menerima arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam kenyataan, AGC turut menjelaskan bahawa proses penggalian semula ini diperlukan bagi menjalankan proses bedah siasat untuk mendapatkan keadilan buat mangsa dan keluarganya. Pihaknya juga memberi jaminan bahawa proses ini akan dijalankan segera dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Menurut keratan Harian Metro, Imam Rawatib Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang yang menyaksikan proses penggalian semula kubur itu menjelaskan bahawa jasad arwah Zara Qairina masih berada dalam keadaan baik dan utuh meskipun telah dikebumikan pada 17 Julai lalu.
Difahamkan juga bahawa jasad arwah Zara Qairina turut menjalani proses imbasan tomografi berkomputer (CT scan) sejurus selepas kuburnya digali semula.
Berdasarkan laporan Sinar Harian, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu arwah Zara Qairina memaklumkan bahawa jasad arwah telah melalui dua kali proses imbasan CT scan, iaitu sebelum dikebumikan dan selepas kubur digali semula.
Peguam sahkan kecederaan pada jasad
Peguam yang mewakili keluarga arwah Zara Qairina iaitu Shahlan Jufri telah menyaksikan keseluruhan proses bedah siasat selama lapan jam yang dijalankan oleh empat doktor pakar forensik serta mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh badan jasad arwah.
“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.
“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya.
Selesai saja proses bedah siasat, jenazah arwah Zara Qairina itu selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang.
Terdapat elemen pengabaian dan gangguan seksual
Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan beberapa perkara mengenai insiden kematian arwah Zara Qairina di Dewan Rakyat.
Beliau tidak menolak wujudnya elemen seperti buli, pengabaian serta gangguan seksual dalam insiden kematian arwah Zara Qairina.
“Saya tak tolak selepas membaca pertuduhan itu, ada elemen buli yang jelas.
“Sebab itu dari pihak kita pun sama, tidak boleh ada usaha atau percubaan menutup jika ada unsur buli di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita.
“Malah dalam kes Zara, turut wujud elemen pengabaian kerana arwah sendiri pernah membuat aduan kepada pihak sekolah,”
Setakat ini juga, sebanyak 195 saksi telah dikenalpasti dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
5 remaja didakwa
Seramai lima remaja bawah umur kini dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, mengikuti kes buli arwah Zara Qairina.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, kelima-lima remaja yang terlibat ini berusia bawah 18 tahun dan akan dibawa ke mahkamah bagi proses pertuduhan.
Namun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengeluarkan satu kenyataan bagi mengingatkan bahawa identiti lima remaja yang bakal dituduh ini tidak boleh didedahkan kepada umum.
5 remaja mengaku tidak bersalah
Kelima-lima remaja yang berumur bawah 18 tahun itu telah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.
Mengikut laporan daripada Berita Harian, mereka dituduh menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina dimana perkataan itu mungkin menimbulkan rasa terganggu sekitar jam kira-kira 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad turut menyatakan identiti mereka meskipun disoal tentang lingkungan umur sahaja juga tidak boleh didedahkan.
Lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak, hari ini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun… pic.twitter.com/mDmrTzBsqx
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 20, 2025
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber: Astro Awani, Berita Harian