Setelah beberapa minggu bertarung nyawa, anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi pada jam 9.41 malam.
Menurut Harian Metro, berita itu disahkan sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika membuat lawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Tiada maklumat lain yang didedahkan tetapi difahamkan jenazah Adib akan dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah esok pagi.
Ia bertujuan untuk memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung di Kedah menaiki helikopter bagi proses pengebumian selepas solat Zohor.
Semalam, IJN melaporkan kesihatan Adib semakin merosot selepas fungsi paru-parunya dikatakan menurun tahapnya.
“Selepas penilaian yang teliti, tisu-tisu pada paru-paru menunjukkan tanda ia semakin mengeras. Pada masa ini, fungsi renal juga tidak menunjukkan penambaikan di mana beliau masih memerlukan sokongan dialisis yang berterusan.
“Oleh itu (pihak IJN) memutuskan untuk sekali lagi memasukkan sistem Veno-Benous ECMO pada jam 9 malam semalam (Sabtu) untuk membantu pernafasan beliau.”
Pada 26 November lepas, Adib telah diserang dan dibelasah kumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya ketika dia dan pasukannya tiba untuk memadamkan kebakaran pada kereta di kawasan tersebut. Insiden itu menyebabkannya mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan beberapa kecederaan dalaman.
Takziah buat ahli keluarga Adib. Al Fatihah…
Baca: Patah Tulang Rusuk & Kecederaan Dalaman, Anggota Bomba Parah Dibelasah Perusuh Kuil Maha Mariamman