Buah beracun yang disangka epal merupakan punca kematian dua beradik yang berumur lima dan tiga tahun di Colombia baru-baru ini. Menurut Mirror, dua beradik tersebut iaitu Jhofran Chaya yang berusia lima tahun dan adiknya Amira Chaya, tiga tahun dikatakan telah termakan buah tersebut kerana menyangkanya adalah buah epal.
Difahamkan, dua beradik terbabit telah menemui buah berwarna merah itu daripada pokok yang dikenali sebagai ‘bola de toro’ atau ‘hurvo de toro’ (thevetia ahouai) di taman rumah nenek mereka.
Pada mulanya, mereka dilihat baik-baik sahaja setelah makan buah itu namun tak lama kemudian, mereka mula muntah-muntah dan turut mengalami sawan.
Mereka kemudiannya dimasukkan ke hospital selama dua hari untuk rawatan sebelum meninggal dunia di hospital yang sama.
Menurut bapa kanak-kanak itu, si abang telah termakan enam biji buah tersebut manakala si adik pula termakan empat biji buah yang sama.
Selepas kejadian menyayat hati itu, kesemua penduduk di situ yang mempunyai pokok yang sama di rumah mereka telah diarahkan polis untuk membuang pokok itu.
Difahamkan juga, pokok tersebut memang biasa tumbuh di kawasan itu.
Ibu bapa mangsa pula dilaporkan akan menerima kaunseling selepas pemergian anak-anak tersayang. Semoga keluarga mangsa akan tetap tabah dengan dugaan ini.
Sumber: Mirror