Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah berlangsung semalam. Kerajaan negeri yang bakal memerintah hasil mandat rakyat akan dibentuk dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun, seperti kata pepatah, rumah siap, pahat berbunyi, PRN kali ini juga tidak lari dari beberapa kontroversi yang timbul.
Antaranya melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor yang telah menunjukkan kertas undi beliau ketika membuang undi di DUN Jeneri, Kedah semalam.
Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tindakan menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Memetik laporan Sinar Harian, Razarudin berkata, polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak tampil membuat laporan polis terhadap kes terbabit.
Semalam, media melaporkan, Menteri Besar Kedah itu, didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayangkan kertas undi kepada petugas media.
Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi
Baca: Sanusi Perjelas Dakwaan ‘Direhatkan’, Mohon Maaf Tidak Hadir Ceramah Politik