Selepas pemergian seorang pengasas produk kecantikan terkenal semalam, hari ini kita dikejutkan lagi dengan khabar duka kembalinya Adam Mahamed Ismail ke Rahmatullah pagi tadi.
Kalau sebut nama penuhnya, mungkin ada yang kurang familiar.
Tapi kalau sebut Chef Adam, atau lebih dikenali sebagai Adamdimdam — mesti korang kenal, selama ni kita dok tengok dia masak dan siap copy lagi mana-mana resepi ringkas dia kat Instagram tu.
Berita sedih pemergian Adam dikongsikan sepupunya Natasha Amran, menerusi laman Instagramnya pagi tadi.
Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia pada usia 29 tahun di kediaman keluarganya di Kota Bharu akibat jangkitan paru-paru.
Menerusi perkongsian lain juga, Natasha memberitahu solat jenazah akan diadakan di Masjid Telipot sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas solat Zohor nanti.
Bagi yang mengikuti perkembangan Adam sebelum ini, Allahyarham mula dikenali ramai setelah menyertai rancangan Hero Oven musim kedua di TV3 — selain berkongsi tutorial dan pelbagai resepi masakan di laman Instagram miliknya.
Selain itu, Allahyarham juga merupakan bapa saudara kepada Fatimah Omar Mukhlis, kanak-kanak perempuan yang pernah tular gara-gara fasih berdialek Kelantan walaupun menetap di England sejak lahir.
Ramai betul yang pergi meninggalkan kita dengan tidak disangka-sangka kan? Rezeki dipanggil pulang dalam bulan mulia.
Apapun, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
Baca: “Allahu, pergi dalam bulan mulia” – Pengasas Kosmetik Terkenal Maut Dalam Nahas Di Thailand