Sebuah masjid yang terletak di Bagan Serai, Perak memerlukan dana sebanyak RM1.8 juta untuk menyelamatkan tanah wakafnya.
Pengurus Masjid Jamek Al-Ridzuan, Alor Pongsu, Yusuf Majid berkata, pihaknya kini memohon bantuan daripada umat Islam khususnya di negeri tersebut untuk bersama-sama menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan yang kini telah dimiliki oleh individu bukan beragama Islam.
Artikel berkaitan : 3 Orang Cedera Ditikam Dalam Insiden Di Masjid Hamilton, Kanada
Artikel berkaitan : Tidak Guna Jam Piawaian SIRIM, Masjid Di Johor Buka Puasa 3 Minit Awal
Difahamkan, kemelut itu berlaku berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.
“Lot tanah berkenaan menempatkan struktur penting masjid termasuk dewan muslimah, tandas wanita serta lebih 30 pusara.”
Katanya, pihaknya mula menyedari bahawa tanah tersebut sudah berpindah hak miliknya sekitar tahun 2015 ketika sedang melakukan proses pengukuran semula kawasan tanah perkuburan bagi membina pagar di kawasan tersebut.
“Pengurusan masjid terkejut apabila mendapati tanah itu berpindah milik kepada individu bukan Islam dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tanah itu kemudian turut dijual pula kepada individu bukan Islam yang kini menetap di Kuala Lumpur.”
“Pemilik baru langsung tidak dimaklumkan tanah dibeli mempunyai struktur berkaitan rumah ibadat dan tanah perkuburan islam.”
Jelasnya lagi pemilik tanah tersebut bagaimanapun telah memberikan 2 pilihan kepada pengurusan masjid iaitu membeli semula tanah tersebut atau merobohkan semua struktur yang telah dibina di kawasan tanah yang telah menjadi miliknya itu.
“Selepas beberapa kali rundingan dilakukan, pemilik tanah itu bersetuju menurunkan harga kepada RM1.8 juta. Justeru kami memohon sedikit masa untuk mengumpul dana diperlukan.”
Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ada mengeluarkan pekeliling agar semua masjid dan surau di sana mengadakan kutipan Tabung Khas ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu’ pada 9 dan 16 Mei ini.
Pun begitu, pihak pengurusan masjid di kawasan itu telah mengambil inisiatif tersendiri termasuklah membuat hebahan kepada ahli kariah dan masyarakat sekitar suapaya mereka dapat menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan masjid berkenaan.
Kepada orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan, anda boleh membuat demikian melalui Akaun Bank Islam Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu: 08077010014368.
Sumber : Harian Metro