Sekali pandang, pasti ramai yang menyangka Dorothea Puente berusia sekitar 60an hingga 70an. Malah, nenek yang suka menderma ini juga merupakan individu yang dihormati dalam komuniti kerana dia menjalankan rumah tumpangan dan menjaga individu homeless dan bermasalah yang kebiasaannya akan dipinggirkan daripada masyarakat.
Pun begitu, tak siapa sangka, rupa parasnya yang nampak berusia dan perwatakannya yang lemah lembut sebenarnya tersimpan satu rahsia ngeri dimana wanita ini sebenarnya adalah seorang pembunuh bersiri yang sudah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa. Lebih menakutkan, kebanyakan mayat mangsanya ditanam sendiri di kawasan laman rumah tumpangannya yang kecil.
Nak tahu tak apa yang lebih menarik? Dorothea Puente ni sebenarnya berusia lingkungan 50an masa dia lakukan jenayah ni dan bukanlah berusia 60an hingga 70an seperti yang dia dakwa. Katanya, dia berpura-pura nampak lebih tua daripada usia sebenar untuk menipu orang lain.
Siapa tu Dorothea Puente?
Lahir pada tahun 1929, Dorothea mempunyai zaman kanak-kanak yang sukar dimana dia dan enam adik-beradiknya yang lain menjadi mangsa dera ibu mereka susulan pemergian bapa tersayang akibat penyakit.
Selepas terpisah dengan adik-beradiknya yang lain di rumah keluarga angkat, Dorothea berhijrah ke Olympia, Washington dimana dia yang ketika itu berusia 16 tahun mula bekerja sebagai pelacur bagi menyara hidup.
Walaupun Dorothea pernah ditahan polis kerana melakukan aktiviti pelacuran dan mewujudkan sebuah rumah pelacuran, jenayah terbesar wanita terbabit bermula apabila didapati bersalah memalsukan cek. Akibatnya, dia dipenjara selama empat bulan sebelum Dorothea sekali lagi berhijrah ke lokasi baru iaitu Sacramento, California.
Ada macam-macam rekod jenayah lampau
Selain mempunyai rekod jenayah memalsukan cek, Dorothea juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau lain termasuklah menipu identitinya sebagai pegawai perubatan untuk meracun mangsanya sebelum merompak mereka. Difahamkan, Dorothea selalu menjadikan warga emas sebagai mangsanya dan akan memberikan mereka sejenis dadah supaya mereka tak mampu bergerak dalam satu tempoh masa supaya memudahkan Dorothea merompak mereka.
Walaupun tidak dibenarkan lagi mempunyai kaitan dengan apa-apa pekerjaan yang membabitkan dirinya perlu menjaga seseorang, Dorothea bertindak melanggar parol dan membuka rumah tumpangan sekitar tahun 1980an. Meskipun kediamannya itu selalu diserbu polis, Dorothea yang bermulut manis bijak ‘mengayat’ pihak berkuasa sehingga mereka percaya Dorothea ni tak melanggar parol. Curious jugak nak tahu ayat apalah dia bagi kat polis sampai diorang percaya…
Dorothea mula disyaki
Segalanya berjalan lancar buat Dorothea sehinggalah pada tahun 1988 apabila kehilangan seorang penghuni bernama Alvaro Montoya, 52, disedari oleh seorang pekerja sosial yang rapat dengannya. Alvaro atau lebih dikenali sebagai Bert merupakan seorang gelandangan yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan mental mula tinggal di rumah tumpangan Dorothea selepas pekerja sosial mencadangkan rumah terbabit kerana review-nya yang baik.
Judy Moise, seorang pekerja sosial mula melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Dorothea selepas dia yakin wanita itu menipunya tentang Bert pergi bercuti.
Jelas Judy, dia kenal Bert dan lelaki itu bukan jenis yang boleh keluar bercuti begitu saja lebih-lebih lagi dengan orang yang dia tak berapa rapat.
Tak lama selepas itu, pihak berkuasa tempatan tiba ke rumah tumpangan Dorothea dan mula menyoal siasat wanita terbabit dan penghuni rumah itu. Walaupun pada mulanya, segalanya yang Dorothea ceritakan tentang Bert nampak masuk akal, seorang penghuni ada memberikan satu kertas kepada polis semasa mereka hendak pergi yang tertera tulisan berbunyi,
“Dia (Dorothea) paksa saya tipu korang.”
Dapat kebenaran untuk gali laman rumah
Selepas menerima kertas bertulis daripada seorang penghuni rumah tumpangan berkenaan, polis sekali lagi datang ke rumah Dorothea dan mula menggeledah rumah berkenaan. Pada mulanya, segalanya nampak normal sehinggalah seorang pegawai polis membuat keputusan untuk menggali laman rumah Dorothea.
“Pada mulanya, dia (Dorothea) pelik kenapa saya minta kebenaran nak gali laman rumahnya, namun lepas saya beritahu tentang bagaimana Judy berkeras mahukan kebenaran tentang kehilangan Bert, Dorothea akur dan membenarkan kami menggali di laman rumahnya,” jelas pegawai polis.
Namun, siapa sangka dengan menggali kawasan tanah kecil di laman rumah tumpangan milik Dorothea akan membongkar bukan sahaja misteri kehilangan Bert Montoya, tetapi kehilangan beberapa penghuni lain juga selepas mayat-mayat mereka ditemukan tertanam di situ.
Dorothea tak pernah mengaku bersalah
Dorothea didakwa atas pembunuhan tujuh penghuni rumah tumpangannya selepas mayat mereka termasuklah Bert Montoya ditemukan tertanam di laman rumah. Selain itu, wanita terbabit turut didakwa atas jenayah lalu dimana dia disyaki membunuh seorang wanita bernama Ruth Monroe dan Everson Gilmouth.
Kalau korang nak tahu, Ruth Monroe ni pernah buka kedai makan bersama Dorothea namun kedai makan tu terpaksa ditutup. Ruth Monroe dikatakan mati bunuh diri selepas alami kemurungan kekasihnya sakit kronik dan kedai makannya ditutup. Namun begitu, anak Ruth tak pernah percaya ibunya bunuh diri.
Everson Gilmouth pula adalah bekas tunang Dorothea yang mula berhubung dengan wanita ini semasa dia dipenjara menggunakan khidmat sahabat pena. Termakan dengan kata-kata Dorothea yang dia sudah berubah,, Everson mula tinggal bersama Dorothea selepas dia dibebaskan dari penjara. Namun, pada tahun 1986, seorang nelayan menemukan mayat seorang warga emas di dalam sebuah kotak yang akhirnya disahkan sebagai Everson Gilmouth. Pun begitu, disebabkan mayat Everson sudah reput teruk, punca kematian sukar ditentukan.
Seramai 130 orang saksi dipanggil ke mahkamah bagi membincangkan kes pembunuhan dilakukan Dorothea Puente. Hasil siasatan polis juga mendedahkan mereka menemukan beberapa pil tidur di dalam rumah Dorothea yang turut ditemukan dalam sistem kesemua tujuh mayat yang ditanam di laman rumah Dorothea.
Pun begitu, Dorothea tak pernah mengaku membunuh kesemua mangsa-mangsanya. Malah, dia juga mendakwa tak tahu macam mana mayat-mayat tu semua boleh tertanam di laman rumahnya.
Sehingga akhir hayatnya, Dorothea masih kekal mengatakan dirinya tidak bersalah. Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 2011 ketika berusia 82 tahun akibat sakit tua.
Sumber: ATI, Screen Rant