Ekonomi di Malaysia ada naik dan turunnya. Justeru itu, graduan yang mempunyai kelayakan yang tertinggi pun boleh mengalami masalah untuk mendapat pekerjaan serta gaji yang setara dengan kelayakan mereka.
Sementara itu, pada masa kini ramai orang yang mampu menjana pendapatan yang tinggi kerana bijak dalam mengambil peluang yang ada untuk berniaga meskipun tidak mempunyai pendidikan formal.
Sesungguhnya, setiap orang mempunyai kemampuan dan rezeki yang berbeza-beza. Maka, adalah tidak adil untuk mengadili seseorang hanya kerana gaji. Menurut perkongsian Zamir Mohyedin di akaun Twitter miliknya dia menyeru orang ramai supaya mengubah pemikiran mengenai hal ini.
Menurut Zamir, orang ramai sering menyuap motivasi kepada mereka yang kurang pandai di dalam akademik dengan memperlekehkan pendidikan semata-mata pendapatan lima hingga enam angka.
Katanya lagi, dia faham ramai yang belajar kerana ingin bergaji besar, namun, dia juga sedar ramai yang belajar kerana minat dan keinginan sendiri untuk mengejar ilmu. Walau bagaimanapun, dia juga akur bahawa realiti sekarang memang ‘memaksa’ masyarakat untuk melihat pendidikan sebagai lubuk sumber kewangan untuk masa depan.
Namun begitu, Zamir mengaku hal ini bukanlah alasan untuk mereka merendahkan pendidikan. Dia menasihatkan supaya kita semua tidak terpengaruh dengan momokan masyarakat yang percaya kononnya hanya dengan SPM sahaja pun boleh memperoleh gaji besar di kemudian hari.
Sehubungan dengan itu, Zamir tidak dapat menyembunyikan rasa simpati kepada mereka yang berminat untuk belajar hingga ke peringkat tinggi kerana sering mendapat kritikan orang ramai yang tidak faham bahawa tujuan mereka belajar adalah bukan kerana duit semata-mata.
Betul la tu.. Kita kena ubah pemikiran….