Ibu bapa yang bawa anak kecil untuk melancong atau balik kampung dengan menaiki pengangkutan awam seperti kapal terbang, bas dan kereta api sudah semestinya risau jika sepanjang perjalanan anak akan meragam kerana bosan.
Ini menyebabkan ramai ibu bapa yang akan bagi anak mereka menggunakan gajet seperti tablet dan iPad supaya anak-anak tak bosan.
Namun, untuk ibu bapa yang kurang gemar menggunakan cara ini, mungkin anda boleh cuba kaedah yang digunakan oleh seorang bapa di China ini.
Bapa tersebut telah memberikan anaknya bermain dan mengupas sayur kubis ketika mereka dalam perjalanan menaiki kereta api.
Gelagat anak perempuan itu telah sempat dirakam oleh individu lain sebelum menjadi tular di media sosial.
Artikel Berkaitan: Jadi Babysitter Jaga Anak Pemilik Restoran, Ramai Terharu Lihat Tindakan Penghantar Makanan Ini
Artikel Berkaitan: Miliki Ketinggian 220 CM, Pemain Bola Keranjang Remaja China Ini Jadi Perhatian Ramai
Dalam video yang tular itu, dapat dilihat kanak-kanak perempuan itu begitu tekun mengupas kubis dan difahamkan, bapanya telah memberikan kanak-kanak itu kubis untuk dikupas supaya dia tidak bosan atau mengganggu penumpang lain.
Difahamkan juga, kanak-kanak itu mengupas kubis itu lebih sejam.
Lebih bagus lagi apabila kanak-kanak perempuan itu dan bapanya telah membersihkan kubis-kubis yang jatuh dan membuang sisa-sisa tersebut ke dalam sebuah plastik kecil.
Rata-rata warganet negara itu juga memuji kaedah yang digunakan oleh bapa itu untuk mengelakkan anak kecil itu daripada menjadi bosan ketika dalam perjalanan.
Selain kubis, boleh juga tukar kepada sayur lain atau makanan kegemaran anak-anak anda seperti pau dan sebagainya.
Selamat mencuba!
Sumber: South China Morning Post