Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan kanak-kanak berusia 6 tahun memandu sebuah kereta sehingga terbabas dan melanggar sebuah tiang lampu di Langkawi.
Ada sumber yang mengatakan terdapat unsur mistik yang membuatkan kanak-kanak itu berani untuk mengendali kenderaan tersebut namun hari ini pihak polis menafikan perkara tersebut.
Menurut laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu, pihaknya menolak dakwaan terdapat kejadian mistik seperti ditularkan di media sosial.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut telah ditemu bual semasa dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi dan keterangan ibu bapanya diambil.
“Berdasarkan siasatan yang dibuat, kanak-kanak terbabit didapati mengetahui fungsi pedal minyak dan gear.
Kanak-kanak terbabit menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat menghidupkan enjin apabila diminta selain menunjukkan bagaimana cara menurunkan brek tangan,” katanya.
Malah, kanak-kanak itu juga boleh menerangkan dengan tepat tentang penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik.
Pun begitu, pemeriksaan kamera papan pemuka kereta (dashcam) bagaimanapun mendapati pemanduan tidak begitu stabil, kereta yang dipandu kadang kala sedikit memasuki lorong bertentangan, ke kiri dan ke kanan.
Baca: “Seram pulak” – Tular Audio WhatsApp Budak 6 Tahun Dakwa Kereta Sebenarnya Dipandu ‘Tok Wan’ ?