Baru-baru ini, satu kajian telah menempatkan Malaysia sebagai negara terburuk untuk keseimbangan pekerjaan dan kehidupan (work-life balance) di antara 60 negara di dunia.
Senarai ini merupakan kajian yang dibuat oleh sebuah syarikat sumber manusia yang menghubungkan pekerja dengan syarikat antarabangsa dengan menganalisa data yang dikumpul pada Mac 2023.
Untuk menyediakan senarai ini, Remote telah mengambil kira beberapa faktor utama seperti cuti tahunan berkanun, bayaran cuti sakit, cuti bersalin, penjagaan kesihatan dan kebahagiaan keseluruhan.
Melalui faktor ini, Malaysia telah mendapat markah sebanyak 27.51 daripada 100 dengan purata waktu pekerjaan mingguan sebanyak 40.8 jam dan gaji minimum sebanyak RM5.04 sejam.
Jumlah ini telah menempatkan Malaysia di tangga kedua terburuk selepas Nigeria yang hanya mempunya lima hari cuti berkanun, jumlah jam kerja mingguan sebanyak 40.8 jam dan gaji minimum sebanyak RM2.02 sejam.
Secara keseluruhan, Remote membuat kesimpulan bahawa pekerja di Mexico, Malaysia dan Nigeria adalah yang paling banyak bekerja dengan setiap negara bekerja selama lebih kurang 40 jam seminggu.
Malah statistik terbaru ini juga menunjukkan, lebih dari tiga suku pekerja di seluruh dunia telah mengalami sindrom burnout ekoran pekerjaan mereka. Mempunyai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan ini bukanlah bermaksud perlu kerja dari rumah semata-mata, tapi keseimbangan ini boleh diperolehi dengan membenarkan pekerja untuk ambil masa bercuti dan berehat di samping memberikan sokongan kepada bakal ibu bapa dengan memberikan polisi cuti bersalin yang lebih baik.
Artikel berkaitan: Gelakkan Mereka Yang Nak ‘Work Life Balance’, Janna Nick Dikecam Netizen?
Artikel berkaitan: Kerap Stres? Ini 5 Tanda Anda Sedang Bekerja Dalam Persekitaran Kerja Toksik
3 Negara yang mempunyai work-life balance terbaik
1. New Zealand
Markah indeks keseluruhan: 79.35
New Zealand merupakan negara yang paling baik dalam segi keseimbangan pekerjaan dan kehidupan. Dengan ekonomi yang kukuh, New Zealand berjaya menduduki tangga pertama dengan mendapat markah yang tinggi dalam faktor-faktor yang diambil kira.
Negara ini mempunyai cuti tahunan berkanun yang banyak iaitu selama 32 hari, bayaran cuti sakit yang tinggi iaitu sebanyak (80%) dan mempunyai sistem kesihatan yang ditanggung oleh kerajaan. Selain itu, negara ini juga merupakan negara kedua yang memberikan gaji minimum tertinggi dalam senarai ini.
2. Sepanyol
Markah indeks keseluruhan: 75.55
Sepanyol telah mendapat markah yang baik melalui faktor-faktor utama kajian ini seperti cuti tahunan berkanun yang banyak iaitu sebanyak 36 hari. Selain itu, negara ini juga merupakan salah satu negara yang mempunyai purata waktu kerja terpendek mingguan.
Sepanyol juga mempunyai ekonomi yang sihat ekoran daripada jumlah pelancong dari luar negara yang banyak sepanjang tahun dan ibu negaranya, Madrid telah mendapat tempat kedua sebagai destinasi terbaik untuk membuat kerja secara remote.
3. Perancis
Markah indeks keseluruhan: 75.34
Salah satu negara Eropah yang mempunyai penduduk terbesar dan salah satu negara keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi, Perancis mempunyai work-life balance yang sihat.
Ini kerana, pekerja di sana mempunyai banyak masa terluang kerana purata waktu bekerja di sana hanyalah 25.6 jam seminggu. Tak cukup dengan itu, negara ini juga turut menawarkan cuti tahunan berkanun sebanyak 36 hari.
Kemudian, pada 2017, Perancis telah memperkenalkan satu undang-undang bernama “hak untuk memutuskan hubungan” di mana pekerja di sana mempunyai hak untuk tidak melihat atau menjawab e-mel di luar waktu bekerja bagi mengurangkan tekanan. Peh!
Cara untuk dapatkan work-life balance
Cara untuk mencapai keseimbangan di antara pekerjaan dan kehidupan adalah berbeza untuk setiap orang kerana kita mempunyai tanggungjawab yang berbeza ketika bekerja atau dalam kehidupan. Tapi ada beberapa perkara yang kena ambil kira jika kita nak capai perkara ini.
- Produktif dan sibuk bekerja adalah dua perkara yang berbeza. Memang senang untuk kita tersilap antara seorang pekerja yang produktif dan yang sibuk bekerja. Tapi bila bekerja, kita mesti tahu untuk work smarter not harder.
- Keseimbangan yang sempurna tak wujud. Kalau korang seorang yang sukakan kesempurnaan, korang akan sentiasa kecewa dan hampa. Jadi, apa yang korang boleh lakukan adalah untuk menjadi orang yang lebih menerima dan sedar bila beban kerja korang dah semakin tak boleh nak diuruskan.
- Jangan rasa bersalah untuk ambil cuti. Walaupun korang percaya yang tempat kerja korang tak boleh nak diurus dengan baik tanpa korang, ia sebenarnya boleh. Hampir kesemua negara wajib memberikan cuti tahunan berkanun dan benda ni wujud bersebab. Jadi ambil cuti dan rehat supaya korang boleh kembali bekerja dengan semangat yang baru dan menjadi lebih produktif.
Sumber: Remote