Seorang suami tidak dapat menahan tangisan apabila melihat jasad isterinya ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki yang dipercayai kekasih gelapnya.
Kejadian itu berlaku di Chachoengsao, Thailand, apabila polis menemui mayat Natticha, 26, dan Chatchai Hongcharoen, 33, di dalam sebuah kenderaan SUV berwarna putih yang diparkir di tepi jalan, pada Isnin.
Penemuan itu disedari seorang pejalan kaki yang curiga melihat lubang tembakan di tingkap tempat duduk penumpang kiri kenderaan dan kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.
Artikel berkaitan: Isteri Merangkak Selamatkan Diri Lepas Ditolak Ke Dalam Gaung Di Gerik, Suami Ditahan Polis
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa ditemui di tempat duduk masing-masing; bahagian pemandu dan penumpang dengan kesan tembakan.
Lebih memilukan, suami kepada Natticha sebelum ini telah membuat laporan polis selepas isterinya dilaporkan hilang sejak 16 Februari.
Dia memaklumkan bahawa isterinya meninggalkan rumah dengan kenderaan SUV pada pagi kejadian dan tidak pulang.
Lelaki itu tidak dapat menghubungi isterinya yang keluar dengan memakai rantai dan gelang emas serta dikhuatiri menjadi mangsa rompakan.
Dalam video yang tular, lelaki itu kelihatan menangis teresak-esak di lokasi kejadian dan terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakannya.
Menurut polis, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua mangsa yang mungkin berkaitan hubungan terlarang mereka.
Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik tragedi ini.
Sumber: Harian Metro, mStar