Percintaan di antara ikon punk rock yang merupakan pemain bass untuk kumpulan Sex Pistols, Sid Vicious dan teman wanitanya Nancy Spungen bukanlah sesuatu yang patut dicontohi, namun begitu, ramai yang menjadikan mereka inspirasi sehingga ada yang menganggap mereka sebagai “Punk’s Romeo and Juliet“.
Hubungan di antara Sid dan Nancy ini mula menjunam apabila pasangan ini mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol yang melampau sehingga ia berakhir apabila Nancy ditemui mati di dalam tandas Bilik 100 di Hotel Chelsea, Sid pula telah ditahan sebagai suspek pembunuhan teman wanitanya namun meninggal dunia akibat overdose dadah sebelum kes tersebut sempat dibicarakan.
Sid dan Nancy: Cinta pandang pertama
Sid Vicious dilahirkan di England dan mempunyai zaman kanak-kanak yang tidak menentu bersama seorang ibu penagih dadah sebelum terjebak dengan remaja-remaja berambut pacak di King’s Road, London pada awal 1970-an.
Manakala Nancy dilahirkan di Philadelphia, Pennsylvania oleh keluarga yang normal namun sejak dari kecil dia telah dikenali dengan perangainya yang kurang ajar dan rebel. Dia pernah dibuang sekolah sebelum disahkan menghidap skizofrenia dan sempat dimasukkan ke hospital mental dan dihantar ke sekolah untuk kanak-kanak bermasalah sebelum melarikan diri ke Bandar New York ketika usia 17 tahun.
Di New York, Nancy telah menceburkan diri sebagai groupie (wanita muda yang mengikuti kumpulan-kumpulan muzik). Pada awalnya, Nancy telah mengikuti Johnny Thunders dan Jerry Nolan dari kumpulan Heartbreakers di sekitar New York sebelum ke London.
Di sana, wanita ini mula mengikuti band baru yang dikenali sebagai Sex Pistols dan menunjukkan minatnya terhadap pemain bass kumpulan tersebut, John Simon Ritchie atau dikenali sebagai Sid Vicious.
Ia merupakan cinta pandang pertama buat pasangan ini apabila mereka bertemu pada 1976. Nancy tertarik dengan Sid yang pemalu dan bertahan dengan sikapnya yang liar manakala Sid melihat Nancy sebagai seorang yang berpengalaman dalam hal-hal orang dewasa seperti seks dan dadah namun tetap memerlukan kasih sayangnya. Sejak dari itu, mereka tidak boleh berpisah di antara satu sama lain.
Nancy ajar Sid tentang seks dan dadah serta kehidupan sebagai rocker New York.” – Pengurus Sex Pistols
Namun begitu, sebelum bertemu Nancy lagi Sid telah mempunyai isu dengan ketagihan dadah sehingga turut mengganggu beberapa persembahan kumpulan ini. Hubungannya dengan Nancy juga turut tidak membantu Sid untuk menjadi lebih baik hingga akhirnya, pada Januari 1978, kumpulan Sex Pistols telah berpecah.
Mereka mengatakan, sebab utama kumpulan ini mengambil keputusan untuk membuat haluan masing-masing adalah disebabkan oleh masalah dadah Sid dan hubungan percintaannya dengan Nancy.
Hotel Chelsea
Pada Ogos 1978, Sid dan Nancy telah berpindah ke Hotel Chelsea. Untuk pengetahuan korang, hotel ini merupakan tempat terkenal dikalangan artis dan pemain muzik. Malah, Bob Dylan, Janis Joplin, Iggy Pop, Jimi Hendrix dan pelukis seperti Jackson Pollock dan Andy Warhol pernah memanggil tempat ini sebagai rumah mereka.
Hotel ini telah menjadi tempat persembunyian pasangan ini selama dua bulan. Ia merupakan tempat untuk mereka berkhayal dengan dadah dan lari dari dunia luar. Ramai yang bimbangkan pasangan ini, takut sekiranya ketagihan mereka terhadap dadah akan memakan diri. Malangnya, ketakutan orang-orang yang terdekat dengan mereka ini telah menjadi kenyataan pada 12 Oktober 1978.
Pada malam sebelumnya, beberapa kawan Sid telah melepak di bilik hotel pasangan ini dan melihat pemain bass itu mengambil dadah dalam jumlah yang sangat banyak.
Beberapa orang di dalam bilik tersebut telah melihat Sid mengambil sekurang-kurangnya 30 pil Tuinal, ia merupakan dos yang sangat banyak dan tak ramai boleh hidup serta mampu untuk membuatkan seseorang tak sedarkan diri selama berjam-jam. Sid kekal tak sedarkan diri sehingga awal pagi.”
Kemudian, pada jam 2.30 pagi keesokan harinya, Nancy telah meminta bodyguard merangkap pengedar dadah Sid, Rocket Redglare untuk mendapatkan dadah.
Kematian tragis Nancy Spungen
Kira-kira pada jam 7.30 pagi, beberapa orang yang tinggal di hotel tersebut telah mendengar suara seorang wanita mengerang datang dari bilik bernombor 100. Dua jam kemudian, Sid telah menelefon penyambut tetamu meminta agar pekerja hotel membantunya.
Ketika pekerja-pekerja hotel tiba di bilik tersebut, mereka melihat Nancy telah pun meninggal dunia dalam keadaan separa bogel di atas lantai tandas. Dia telah ditikam dengan kejam pada bahagian perutnya dengan pisau dan mati kerana kehilangan darah.
Manakala Sid pula dikatakan telah berulang alik di hallway sambil meraung-raung mengatakan yang dia telah membunuh kekasihnya itu. Sid kemudiannya telah ditahan atas pertuduhan membunuh Nancy.
Dikatakan, ketika disoal siasat, Sid turut mengatakan perkara yang sama kepada pihak polis sebelum menarik balik pengakuannya dengan mengatakan bahawa dia telah tidak sedarkan diri ketika pembunuhan tersebut berlaku dan tak ingat apa yang berlaku pada malam tersebut.
Walaupun pihak polis tak percaya dan skeptikal dengan kenyataan Sid, keluarga dan rakan-rakannya percaya bahawa dia tidak bersalah.
Dia merupakan cinta pertama dan satu-satunya cinta hatinya. Saya yakin Sid tak bersalah.” – Pengurus Sex Pistols.
Sid Vicious meninggal dunia
Selepas dibebaskan atas jaminan, Sid telah cuba untuk membunuh diri beberapa hari kemudian kerana tak boleh mengawal kesedihannya atas kehilangan Nancy. Dia kemudiannya telah dimasukkan ke dalam penjara sebelum dibebaskan semula pada Februari 1979.
Ketika dibebaskan, lelaki ini telah meminta ibunya untuk membeli dadah jenis heroin dan pada keesokan harinya (2 Februari), ikon punk ini telah ditemui mati kerana overdose.
Dengan kematian Sid, pihak polis telah hentikan siasatan ke atas kes kematian Nancy manakala keluarga dan rakan-rakannya yakin bahawa Sid tidak membunuh Nancy.
Beberapa tahun selepas kematian tragik pasangan ini, beberapa teori telah pun muncul. Ada yang percaya bodyguard Sid merupakan pembunuhnya dan ada juga yang mengatakan kematian Nancy adalah sebahagian daripada cubaan pasangan ini untuk membunuh diri bersama-sama.
Salah seorang pemuzik yang bersama Sid pada malam kematiannya mengatakan, Nancy telah menikam dirinya sendiri untuk mendapat perhatian dari Sid.
Pun begitu, sehingga hari ini kes kematian Nancy tetap menjadi tanda-tanya.
Baca: Ini 6 Pasangan Paling Berbahaya Dalam Sejarah Selain Bonnie & Clyde