Putera ‘pujaan ramai’ dari Brunei, Putera Mateen atau Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bakal melangsungkan perkahwinan diraja pertama tahun ini dengan pasangan pilihan, Dayang Anisha Rosnah Adam dan istiadat perkahwinan diraja tersebut berlangsung selama 10 hari, bermula dengan Istiadat Bersuluh Diraja yang diadakan Isnin lalu.
Sebagaimana ia dilaksanakan sejak turun-temurun, Majlis Istiadat Bersuluh Diraja tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat yang melambangkan keunikan, keindahan dan juga kegemilangan Adat Istiadat Diraja.
Sementara itu, acara kemuncak istiadat perkahwinan selama 10 hari tersebut adalah Majlis Bersanding Pengantin Diraja yang akan dilangsungkan pada 14 Januari 2024 di Istana Nurul Iman.
Kemudian, pasangan diraja itu dijadualkan untuk menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala majlis resepsi akan diadakan pada 15 Januari.
Putera Mateen, 33 merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz manakala Dayang Anisha pula merupakan cucu kepada Pehin Datuk Isa yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei.
Perkahwinan diraja ini juga dimeriahkan lagi dengan pelancaran lagu ‘rasmi’ sempena perkahwinan diraja 2024 tersebut baru-baru ini oleh Radio Televisyen Brunei (RTB) bertajuk ‘Renjana Pengantin Diraja’ yang dicipta oleh Muhd. Hazwan Bin Haji Awang Madial dan dinyanyikan oleh Nur Izzah Binti Mohd. Hashim.
Difahamkan, lagu ciptaan Hazwan ini merupakan pemenang peraduan mencipta & menterbitkan lagu sempena perkahwinan diraja 2024 yang dianjurkan oleh RTB pada Oktober 2023 lalu.
Selain itu, terdapat sebuah lagi lagu gubahan Pg. Mohammad Fauzie Bin Pg. Zainal Abidin @ Fauzie Zainal bertajuk Bahtera Mahligai Mempelai Diraja nyanyian Dk. Nur Fairuz Qashrinasyasya Binti Pg. Zainal Abidin yang merupakan pemenang tempat ke-2 peraduan mencipta lagu berkenaan.
p/s : Korang suka lagu mana satu?