Dalam dunia serba moden ni, masih ramai masyarakat di rantau ASEAN yang kekal bangga dengan satu amalan tradisi yang dah wujud sejak nenek moyang lagi iaitu budaya makan guna tangan. Bagi umat Islam, cara ini bukan sahaja untuk mengenyangkan perut, tetapi juga satu sunnah yang penuh dengan adab dan makna. Setiap suapan menggunakan tangan kanan itu ibarat latihan untuk kita mensyukuri segala rezeki dan nikmat yang ada pada makanan.
Menariknya, budaya makan guna tangan juga turut diamalkan dan dijadikan warisan budaya terhadap negara-negara ASEAN yang lain seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Laos dan ramai lagi.
Namun, baru-baru ni budaya makan guna tangan sempat dijadikan bahan bualan di media sosial apabila segelintir pihak luar melabel budaya ini sebagai ‘Jungle Asians’, seolah-olah perbuatan makan menggunakan tangan ibarat tidak seiring dengan dunia yang sudah moden.
Tapi hakikatnya, di sebalik setiap suapan tangan tu, ada nilai sopan dan kesyukuran yang tak mampu ditiru oleh budaya lain.
Warisan serumpun

Budaya makan guna tangan ini telah diamalkan sejak zaman dahulu di rantau ASEAN, termasuklah negara kita iaitu Malaysia dan negara lain seperti Indonesia, Brunei dan sebahagian wilayah Filipina. Penggunaan tangan sebagai cara makan menjadi satu simbol identiti budaya yang menyatukan rakyat serumpun dengan menghubungkan makanan, rezeki dan komuniti yang berkongsi tradisi.
Negara Vietnam dikatakan tidak mengamalkan budaya ini kerana pengaruh China di negara tersebut sangat kuat, menjadikan mereka lebih selesa menggunakan chopstick berbanding tangan.
Namun, budaya ini juga bukanlah satu-satunya budaya yang boleh dijumpai di sekitar negara ASEAN sahaja. Budaya ini juga diamalkan oleh negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Mesir serta di benua India seperti India, Pakistan dan Bangladesh.
Amalan ni wujud kerana faktor keagamaan dan nilai budaya yang hampir sama dengan kita, iaitu makan guna tangan dianggap lebih bersih, beradab dan membawa keberkatan.
Artikel Berkaitan: “Kita kan serumpun”- Ramai Puji Pasangan Indonesia Ini Pakai Baju Pengantin Macam Orang Malaysia – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Duta Besar Indonesia Nafi Malaysia Buat Tuntutan Rasmi Tradisi Pacu Jalur, Mohon Rakyatnya Bijak Menilai – Lobak Merah
Persepsi dan stereotaip

Walaupun budaya ini kukuh dan masih dibanggakan, tapi tidak dinafikan juga ada segelintir yang memandang rendah, malah menunding jari kepada budaya ini sebagai tidak bertamadun atau tidak moden. Itu yang menjadi punca ada yang melabel budaya ini sebagai ‘Jungle Asians’ hanya kerana tidak menggunakan peralatan makan seperti sudu, grafu atau chopstick yang kononnya lebih ‘beradab’.
Pandangan sebegini mencerminkan kejahilan terhadap warisan budaya orang lain, sedangkan budaya ini penuh dengan makna. Walaupun hakikatnya begitu, sebenarnya ramai orang juga semakin memahami bahawa amalan makan guna tangan bukanlah sesuatu yang ‘mundur’ tetapi ianya asli kerana kaya dengan nilai warisan tradisi.
Pengalaman makan jadi lebih bermakna

Menurut portal antarabangsa, kajian menjelaskan bahawa amalan makan dengan tangan mempunyai dimensi deria yang kuat. Apabila jari-jari kita menyentuh makanan, otak dan sistem pencernaan secara automatik akan menerima isyarat awal bahawa kita bakal makan. Dari situlah tubuh kita akan mula bersedia dengan merembeskan enzim untuk menghadam makanan dengan lebih baik.
Maksudnya, sebelum makanan masuk ke mulut, badan kita sudah bersedia untuk menerima makanan tersebut.
Selain itu, pengalaman ini juga menjadikan kita makan dalam keadaan yang sedar dengan teksturnya, rasa dan suhu makanan sambil merasai setiap suapan tersebut. Secara tidak langsung, ia memperlahankan kadar pengambilan makanan dan memberi ruang untuk kita merasai dan menghargai keaslian makanan itu.
Memandangkan ia boleh memperlahankan pengambilan makanan apabila kita sedang menikmati makanan yang disuap dengan tangan, maka secara tidak langsung ia juga dapat mengurangkan risiko obesiti dan diabetes jenis 2. Hal ini kerana proses makan yang perlahan akan memberi masa kepada otak untuk memproses isyarat kenyang dengan lebih baik.
Simbol adab dan kesyukuran

Dalam agama Islam, ia dianggap sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW serta disarankan juga untuk makan menggunakan tiga jari sebagai tanda keserdahanaan. Umat Islam turut diajar untuk makan secara tertib, tidak gelojoh dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah kita kurniakan.
Bagi penganut Hindu pula, setiap jari dipercayai mewakili unsur alam iaitu bumi, air, api, angin dan ruang. Jadi apabila mereka menggunakan tangan untuk makan, mereka sebenarnya sedang menggabungkan elemen-elemen ini sebagai simbol keharmonian bersama alam, sekali gus mencerminkan sifat reflektif terhadap hidup mereka, lapor Best of Vegan.
Makan guna tangan juga bukan bermaksud ‘kotor’. Sebaliknya, masyarakat yang mengamalkan budaya ini amat menitikberatkan kebersihan sebelum dan selepas makan. Sebelum menjamah makanan, tangan akan dibasuh bersih-bersih dan selepas makan pun sama. Sebab tu, budaya ini sentiasa disertai dengan kesedaran tinggi tentang kebersihan diri.
Sumber: Seasia
