Bertepatan dengan tarikh 1 Disember, Hari AIDS Sedunia kembali mengingatkan kita tentang pentingnya memahami risiko jangkitan HIV dan AIDS.
Walaupun kadar kesedaran semakin meningkat saban tahun, masih ramai yang keliru perbezaan jangkitan HIV dan AIDS serta bagaimana ia boleh tersebar. Apa yang lebih membimbangkan, ada yang masih percaya pada maklumat yang tidak sahih sehingga menyebabkan salah faham berterusan.
Dalam realiti hari ini, penyakit ini tidaklah seteruk seperti yang digambarkan dahulu. Dengan adanya rawatan moden dan akses kepada sokongan kesihatan, individu yang dijangkiti boleh menjalani kehidupan yang lebih normal.
Sebelum kita ketahui risiko kepada jangkitan AIDS, mari kita fahami beza jangkitan HIV dan AIDS terlebih dahulu.
Beza HIV dan AIDS

HIV dan AIDS ni memang selalu disebut bersama, tapi kedua-dua jangkitan ini sebenarnya tidak sama. HIV atau nama penuhnya Human Immunodeficiency Virus ini adalah satu virus yang menyerang sistem imun manusia.
Apabila seseorang dijangkiti HIV, virus ini akan menyerang sel darah putih yang bertindak untuk melawan penyakit, sekaligus boleh melemahkan sistem badan. Secara kebiasaannya juga, dalam beberapa tahun pertama, individu yang dijangkiti mungkin tidak akan menunjukkan gejala yang serius.
AIDS atau Acquired Immunodeficiency Syndrome pula merupakan tahap yang serius bagi jangkitan HIV. Ia berlaku apabila sistem imun telah terjejas teruk akibat HIV yang tidak dirawat. Jadi, sekiranya seseorang itu menghidap AIDS, pasti individu tersebut mempunyai rekod jangkitan HIV juga.
Tapi tidak semua individu yang dijangkiti HIV akan mengalami AIDS, terutamanya jika mereka sering menjalankan rawatan dan pemantauan kesihatan. Oleh itu, pengesanan awal melalui ujian saringan dan pemantauan berkala adalah penting untuk mencegah perkembangan HIV kepada AIDS.
Artikel Berkaitan: 44% Penghidap HIV Dari Kalangan Pelajar Universiti – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Jangkitan HIV Meningkat Di Kalangan Pelajar Uni? Kajian Durex Dedah 70% Rakyat Malaysia Aktif Seks Tapi… – Lobak Merah
Punca dijangkiti AIDS

Salah satu punca utama penyebaran HIV kepada wanita dan lelaki ialah hubungan seksual yang tidak selamat. Aktiviti seksual tanpa perlindungan seperti atau melakukan hubungan seks dengan pasangan yang telah dijangkiti HIV boleh meningkatkan risiko jangkitan yang ketara.
Menurut Berita Harian, kes jangkitan HIV di Malaysia semakin meningkat disebabkan aktiviti seksual yang tidak terkawal dalam kalangan remaja dan orang muda. Kira-kira 44% pesakit adalah berumur 20 hingga 29 tahun, manakala 4% berusia 13 hingga 19 tahun.
Golongan tertinggi adalah remaja lepasan sekolah dan universiti, mereka tidak mengetahui risiko jangkitan, namun kes jangkitan HIV akibat dadah dilihat makin berkurangan disebabkan kita kerap melakukan program kesedaran bahaya berkongsi jarum suntikan,” kata Dr Zaiton Yahaya, Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF).
Bertukar pasangan seksual tanpa mengira orientasi atau jenis hubungan turut boleh meningkatkan risiko penyebaran HIV. Hal ini kerana, semakin kerap hubungan seks dilakukan tanpa perlindungan, semakin mudah virus ini akan tersebar.
Selain itu, penggunaan jarum suntikan juga menjadi salah satu punca utama kepada penyebaran HIV. Individu yang berkongsi jarum sama ada untuk suntikan dadah, rawatan terapi atau rawatan yang memerlukan penggunaan jarum sebenarnya berisiko tinggi untuk dijangkiti virus ini.
Kumpulan pengguna dadah yang berkongsi jarum sering terdedah dengan jangkitan HIV ekoran kurang pendedahan terhadap risiko jangkitan HIV dan AIDS. Pekerja perubatan yang terlibat dalam prosedur suntikan juga boleh berdepan dengan risiko jangkitan penyakit ini sekiranya prosedur penstrilan tidak dijalankan dengan betul.

Walaupun jarang berlaku, transfusi darah dan penggunaan produk darah tidak selamat juga boleh menjadi punca HIV. Penerimaan darah daripada penderma yang dijangkiti HIV atau produk darah tercemar boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit ini.
Pada tahun 2005, sebuah klinik perubatan di Ipoh pernah tersilap membekalkan darah yang tercemar dengan HIV kepada pesakit kemalangan jalan raya. Kes ini berakhir pada tahun 2016 di mana mahkamah persekutuan mengarahkan pusat perubatan berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM896,000 kerana kecuaian, memetik laporan Berita Harian.
Meskipun ada rawatan yang boleh mengurangkan risiko penyakit ini dengan ketara, jangkitan HIV ini sebenarnya masih boleh dipindahkan daripada ibu yang dijangkiti kepada bayinya semasa proses kehamilan, bersalin atau penyusuan.
Namun begitu, ianya sangat penting untuk kita ketahui bahawa virus ini tidak merebak melalui sentuhan biasa seperti bersalaman, berpelukan, berkongsi pinggan, batuk atau bersin. Virus HIV ini hanya boleh disebarkan melalui darah, air mani, cecair faraj atau susu ibu yang tercemar sahaja.
Jadi, apa risiko kalau menghidap penyakit AIDS?

Sekiranya jangkitan HIV tidak dirawat, virus ini boleh serang sistem imun tubuh badan kita sehingga menyebabkan tubuh menjadi lemah dan tidak lagi mampu untuk melawan jangkitan.
Apabila sistem imun terjejas, individu yang mudah dijangkiti penyakit biasanya tidak akan membahayakan orang lain, tetapi tubuh mereka akan lebih berdepan dengan komplikasi kesihatan lain.
Salah satu risiko utamanya ialah penyakit oportunistik, iaitu penyakit yang biasanya menyerang individu yang sistem imunya telah lemah. Contohnya seperti penyakit tuberkulosis (TB), pneumonia, jangkitan kulat, dan beberapa jenis kanser tertentu. Kehadiran penyakit ini boleh menyebabkan keadaan kesihatan menjadi serius dan mengancam nyawa.
Dan bila jangkitan HIV tidak dirawat, ia akan berkembang kepada tahap AIDS yang menandakan sistem imun telah rosak. Pada tahap ini, tubuh akan sukar untuk melawan jangkitan biasa dan komplikasi kesihatan juga akan jadi lebih teruk.
Selain risiko fizikal, individu yang menghidap jangkitan penyakit ini sudah tentu akan berdepan dengan risiko sosial dan emosi. Stigma masyarakat, diskriminasi dan tekanan emosi boleh menjejaskan kualiti hidup serta menyebabkan mereka enggan mendapatkan rawatan atau menjalani ujian saringan.
Tuntasnya, jangkitan HIV dan AIDS bukan satu perkara yang boleh dipandang remeh. Individu yang menghidap penyakit ini juga tidak bermakna hidup mereka bakal berakhir.
Dengan pendedahan awal dan sokongan masyarakat, risiko penyebaran penyakitan ini boleh dikurangkan di samping membantu individu yang menghidap penyakit HIV menjalani kehidupan yang lebih selamat dan berkualiti.
Sumber: Doctor On Call
