Baru-baru ini tular dengan insiden beberapa siri tembakan yang berlaku antara Pasukan Gerakan AM (PGA) dengan penyeludup haram di sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan seorang anggota PGA terbunuh manakala beberapa lagi cedera terkena tembakan.
Dalam insiden kira-kira pukul 2.30 pagi, 24 November yang lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, telah terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah selepas berlakunya kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.
Kini, sempadan negara tidak lagi mudah untuk dibolosi oleh kegiatan penyeludupan haram ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil beberapa inisiatif untuk menempatkan beberapa pasukan elit polis untuk mengawal pintu sempadan.
Kerah unit berkuda, udara, perisai & VAT69
Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengerahkan unit berkuda, unit udara serta unit kereta perisai ke sempadan Malaysia-Thailand sebagai usaha untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan memburu penyeludup yang masih bebas ini.
Bukan setakat itu, pasukan polis elit, anggota 69 Komando (VAT69) juga turut serta bersama-sama membantu mengawal pintu sempadan negara.
Ni kalau jumpa, memang masak la.
Pintu sempadan tak mudah lagi bolos
Lapor BH Online, Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, keempat-empat unit itu akan memastikan sempadan negara tak lagi mudah untuk dibolosi.
PGA akan menambah 3 unit kereta perisai dengan kekuatan 12 anggota yang dibahagikan kepada 3 kumpulan. Tugasan pemantauan udara pula akan dijalankan oleh unit udara yang dibantu oleh VAT69 dan anggota penjejak dari Batalion 3 PGA yang akan melakukan tinjauan di darat.
Turut dibuat rondaan bersepadu
Selain itu, tiga unit berkuda juga akan melakukan rondaan di sepanjang sempadan bermula dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke Padang Besar.
Tambahnya, sehingga kini, terdapat 6 ekor kuda daripada unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk menjalankan rondaan mengikut giliran yang telah ditetapkan.
Rondaan akan mula dijalankan pada Jumaat ini yang membabitkan rondaan bersepadu dari Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu hitam, Kedah ke Padang Besar, Perlis dan Pos Kawalan BKC 7 ke Padang Besar.
PGA juga akan mula menjalankan rondaan di seluruh 23 pos kawalan sepanjang laluan keselamatan berdasarkan maklumat yang diperolehi dari semasa ke semasa.
Berdasarkan hasil risikan, terdapat 5 hingga 7 kumpulan penyeludup yang aktif sejak kebelakangan ini.
Teruskan usahamu PDRM, ganyang je pengkianat negara ni.