Beberapa hari lalu, rapper, Caprice dan pendakwah bebas, PU Azman telah menyatakan kesudian mereka untuk membantu bayarkan kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga burger kerana berniaga melebihi masa.
Malah semalam juga, pengacara dan usahawan, Neelofa telah menyatakan niat yang sama untuk membantu peniaga burger terbabit, lapor Berita Harian.
Menurut peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38 dan isterinya, Norlaili Shafien, 37, mereka telah dihubungi peguam Neelofa pada jam 5.30 petang yang memaklumkan selebriti tersebut mahu membayar jumlah kompaun yang dikenakan terhadap mereka.
Peguam berkenaan meminta saya menghubunginya kembali jika saya bersetuju untuk menerima tawaran itu.
“Kami berterima kasih kepada Neelofa kerana sudi membantu kami, namun buat masa ini saya dan suami mahu menunggu keputusan rayuan kompaun,” katanya.
Terima lebih 100 panggilan ingin hulur bantuan
Malah katanya lagi, selain Neelofa, PU Azman ada menghubungi pada jam 5.30 petang dan Caprice pula pada pukul 10.30 malam tadi.
“PU Azman juga mahu menghulurkan bantuan untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan kepada kami.
“Pada masa yang sama kami juga menerima panggilan daripada penyanyi rap, Caprice pada jam 10.30 malam tadi.
“Kami menghargai tawaran daripada selebriti yang mahu membantu menyelesaikan kompaun RM50,000 yang dikenakan kepada suami,” katanya.
Pun begitu, buat masa sekarang pasangan suami isteri ini masih menunggu jumlah kompaun sebenar yang dikenakan terhadap mereka dan jika jumlah tersebut terlalu banyak untuk dibayar, maka mereka kemungkinan besar akan menerima tawaran tersebut.
Katanya lagi, selain 3 selebriti berkenaan mereka juga menerima lebih 100 panggilan daripada orang ramai yang ingin membantu mereka. Uish ramainya, syukur ramai nak bantu…
Terdahulu, peniaga burger yang menjalankan perniagaan tersebut di hadapan tangga rumahnya dekat Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu didatangi beberapa anggota polis yang kemudian memberikan kompaun sebanyak RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi waktu.
Syukurlah ramai yang nak datang membantu.
Baca: Upload IG Story Moreh Burger, Netizen Tuntut Pencerahan Neelofa