Pendedahan terhadap media sosial pada usia yang terlalu muda sebenarnya semakin menjadi satu kebimbangan ramai orang terutamanya para ibu bapa di seluruh dunia.
Kalau orang dewasa sendiri pun boleh terperangkap dengan isu keselamatan seperti penipuan, buli siber, kandungan berbahaya dan sebagainya, bayangkan pula kanak-kanak yang masih belum faham cara platform digital ini berfungsi sepenuhnya.
Disebabkan itu, banyak negara mula mempertimbangkan langkah yang lebih tegas untuk melindungi pengguna di bawah umur. Jadi selain Malaysia, negara mana lagi yang mengambil pendekatan serupa?
Artikel Penuh: Tidak Patuh Undang-undang, Rusia Ancam Sekat Aplikasi WhatsApp – Lobak Merah
Artikel Penuh: Netizen Puji CEO Telegram Ambil Keputusan Tak Sekat Kandungan Berkaitan Palestin – Lobak Merah
Australia

Australia adalah salah satu negara terawal yang mula melaksanakan larangan penggunaan media sosial secara besar-besaran untuk pengguna bawah 16 tahun. Kerajaan menjelaskan langkah ini bertujuan untuk mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya dan ciri platform yang mendorong mereka menghabiskan lebih banyak masa di skrin.
Kajian kerajaan Australia pada awal 2025 juga mendapati sebanyak 96% kanak-kanak berusia 10-15 tahun menggunakan media sosial dan tujuh daripada 10 terdedah kepada kandungan seperti keganasan, mesej berkaitan bunuh diri dan sebagainya. Ramai juga menyatakan pengalaman mereka berdepan dengan buli siber dan cubaan ‘grooming’.
Larangan ini melibatkan beberapa platform utama termasuklah Facebook, Instagram, TikTok, Snapchat, X, YouTube, Reddit, Kick dan Twitch. YouTube Kids, Google Classroom dan WhatsApp bagaimanapun dikecualikan kerana tidak memenuhi ciri interaksi sosial secara terbuka bersama pengguna yang tidak dikenali.
Meskipun larangan ini akan mula berkuatkuasa secara rasmi pada 10 Disember 2025, namun beberapa platform seperti Meta telah mula menutup akaun bawah umur sejak awal Disember 2025.
Syarikat yang gagal menghalang akses pengguna bawah umur akan dikenakan denda hingga A$49.5 juta iaitu bersamaan dengan RM134.6 juta dan mereka juga diwajibkan untuk menggunakan teknologi pengesahan umur seperti ID kerajaan, pengecaman wajah atau sistem ‘age verification’ untuk memastikan tiada penipuan umur berlaku dalam penggunaan media sosial.
United Kingdom

Di negara ini, Online Safety Act menetapkan standard untuk platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok dengan fokus untuk melindungi pengguna bawah 18 tahun daripada kandungan berbahaya seperti keganasan, buli siber dan pornografi.
Menurut laman web rasmi kerajaan UK, langkah ini mula berkuatkuasa pada 25 Julai 2025 apabila platform mewajibkan untuk guna kaedah pengesahan umur yang kukuh, termasuklah imbasan wajah, ID foto, semakan kad kredit atau pengesahan identiti digital bagi memastikan remaja tidak sengaja atau dengan sengaja mencuba untuk akses kandungan yang tidak sepatutnya.
Walau bagaimanapun, UK tidak mengenakan had umur minimum untuk menggunakan media sosial secara menyeluruh. Negara ini cuma membatasi akses kepada kandungan yang berisiko tetapi tidak melarang penggunaan media sosial sepenuhnya.
Perancis

Sejak 2023, Perancis telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan platform media sosial perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa untuk pengguna di bawah umur 15 tahun sebelum mereka dibenarkan mendaftar akaun.
Langkah ini diambil ekoran kebimbangan terhadap kanak-kanak yang terdedah dengan kandungan pornografi, gangguan siber, standard kecantikan yang tidak realistik serta sifat media sosial yang boleh menyebabkan ketagihan.
Menurut NDTV World, undang-undang tempatan sedia ada berjaya melindungi data peribadi pengguna, tetapi ia tetap gagal menghalang kanak-kanak daripada mengakses media sosial. Walaupun secara rasmi platform media sosial boleh menutup akses bagi kanak-kanak bawah 13 tahun, realitinya masih ada yang berjaya mendaftar dan aktif menggunakannya.
Oleh demikian, undang-undang baru menjelaskan yang platform media sosial perlu mendapat persetujuan ibu bapa bagi pengguna di bawah 15 tahun. Ibu bapa juga boleh minta akaun anak digantung serta aktifkan mod kawalan masa supaya anak-anak tidak menggunakan media sosial terlalu berlebihan.
Denmark

Denmark baru-baru ini juga telah mengumumkan satu persetujuan untuk melarang akses media sosial bagi kanak-kanak di bawah 15 tahun. Walau bagaimanapun, ibu bapa masih boleh memberi kebenaran kepada kanak-kanak berusia 13 hingga 14 tahun berdasarkan penilaian tertentu, memetik laporan Euronews.
Kerajaan Denmark merancang untuk menggunakan sistem ID elektronik dan sedang menguji aplikasi pengesahan umur bagi menyokong pelaksanaan larangan ini. Dalam masa yang sama, usaha ini akan dijayakan bersama negara Perancis, Greece, Itali dan Sepanyol serta dilancarkan versi negara masing-masing dalam beberapa bulan akan datang.
Sebagai salah satu negara pertama di Kesatuan Eropah, Denmark kini mengambil langkah penting untuk menetapkan had umur bagi penggunaan media sosial.
“Langkah ini dibuat untuk lindung kanak-kanak dan remaja dalam dunia digital sekarang,” kata Kementerian Digitalisasi Denmark.
Namun, undang-undang ini belum berkuatkuasa sepenuhnya kerana masih perlu diluluskan di Parlimen dan proses itu dijangka akan mengambil masa beberapa bulan.
Sepanyol

Pada 4 Jun 2024, kerajaan Sepanyol telah meluluskan rang undang-undang baru yang bertujuan meningkatkan had umur minimum untuk membuka akaun media sosial daripada 14 tahun kepada 16 tahun.
Di bawah rang undang-undang ini, remaja bawah 16 tahun hanya dibenarkan mendaftar akaun jika ibu bapa atau penjaga yang memberikan kebenaran di samping platform media sosial juga perlu melakukan semakan umur atau age verification di bawah mod kawalan ibu bapa secara efektif.
Menurut Menteri Undang-Undang, Félix Bolaños, undang-undang baru ini dicadangkan bagi tujuan untuk menerapkan pendidikan literasi media, keselamatan siber di samping membuat pindaan kod jenayah siber terhadap kanak-kanak seperti pornografi deepfake, child grooming dan penyebaran bahan pornografi.
Selain itu, ia juga mencadangkan langkah-langkah keselamatan seperti mengehadkan akses ‘loot-boxes’ atau pembelian ganjaran rawak dalam permainan video yang semakin popular di kalangan kanak-kanak.
Meskipun rang undang-undang ini sudah dikemukakan, namun setakat ini ianya masih belum dikuatkuasakan secara rasmi, jadi syarat yang dinyatakan masih belum boleh diterapkan bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
China

Kawalan internet dan akses media sosial di negara China adalah antara yang paling ketat di dunia dengan puluhan ribu laman web serta kandungan asing disekat bukan sahaja untuk kanak-kanak, malah juga bagi orang dewasa.
Kerajaan China telah memperkenalkan pelbagai dasar yang bertujuan mengehadkan penggunaan teknologi bagi kumpulan remaja, termasuklah mengehadkan masa bermain permainan video kepada satu jam pada hari-hari tertentu bagi pengguna bawah 18 tahun serta mengawal masa mereka dalam menggunakan platform media sosial.
Menurut BBC, aplikasi tempatan versi TikTok mereka iaitu Douyin, hanya membenarkan pengguna di bawah umur 14 tahun selama 40 minit sehari sahaja serta tidak dibenarkan mengakses aplikasi berkenaan antara pukul 10 malam hingga 6 pagi.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko ketagihan, pendedahan kepada kandungan berbahaya dan gangguan psikologi. Sementara itu, peraturan sama turut menyentuh aspek permainan video dan penggunaan telefon pintar secara umum, bagi memastikan keselamatan digital golongan muda dipantau dengan lebih ketat.
Jadi memang wajarlah usaha sedemikian ini dipertimbangkan sebab hampir setiap hari kita mendengar kesan negatif terhadap kanak-kanak yang terdedah kepada risiko menggunakan media sosial berlebihan.
Oleh itu, langkah-langkah ini diharapkan dapat membantu kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang lebih selamat terutamanya dalam dunia moden yang semakin kompleks.
Sumber: BBC
