Pasport Malaysia dianggap unik kerana tertera dengan jelas larangan “Not valid for Israel”. Penegasan ini mencerminkan pendirian konsisten negara kita yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, sekali gus menzahirkan sokongan teguh terhadap Palestin.
Larangan tersebut bukan sekadar simbolik, malah ia menggambarkan dasar luar Malaysia yang tegas dalam isu antarabangsa ini. Pada masa sama, pasport Malaysia turut diiktiraf antara yang terkuat di dunia, menjadikannya dokumen perjalanan yang cukup istimewa.
Dengan skor mobiliti ke 170 destinasi, Malaysia kini berada di tangga-7 pasport sedunia menurut Passport Index, sekaligus membuktikan bahawa nilai dan kedudukan pasport negara kita ini dihormati di peringkat global.
Tapi kalau korang nak tahu, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menetapkan larangan ke negara lain, malah ada banyak lagi negara yang turut melarang rakyatnya unutk ke negara lain tau.
Kalau korang nak tahu negara apa dan apa sebabnya, jom baca artikel dekat bawah ni.
Bangladesh
Selain Malaysia yang melarang rakyatnya ke Israel, negara Bangladesh juga melakukan hal yang sama terhadap Israel.
Hal ini disebabkan, Bangladesh juga tidak mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat dan mengekalkan dasar luar yang menyokong penubuhan negara Palestin. Jadi sehubungan dengan itu, Bangladesh melarang rakyatnya mengunjungi Israel.
Pada April 2025, kerajaan sementara Bangladesh mengarahkan agar ayat “This passport is valid for all countries of the world except Israel” yang membawa maksud pasport ini sah untuk semua negara di dunia kecuali Israel, untuk dimasukkan semula dalam pasport rasmi negara tersebut.
Langkah ini bertujuan untuk menegaskan pendirian negara ke atas Israel serta sebagai tindak balas terhadap protes besar-besaran di Dhaka yang menyokong Palestin.
Sebelum ini iaitu pada tahun 2021, pasport Bangladesh pernah mengandungi klausa yang sama. Pada ketika itu, kerajaan Sheikh Hasina yang mengeluarkan klausa tersebut untuk mematuhi piawaian antarabangsa.
Namun, kerajaan sementara yang dipimpin oleh Muhammad Yunus telah memutuskan untuk meneruskan klausa tersebut sebagai respons sokongan terhadap Palestin. Di samping itu, mengikut Akta Pasport Bangladesh, perjalanan ke negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Bangladesh adalah dilarang sama sekali. Oleh itu, perjalanan ke Israel adalah tidak sah tanpa kebenaran sah.
Artikel Berkaitan: “Lebih 150 negara dah akui” – Ini Sebab Kenapa Pengiktirafan Antarabangsa Penting Untuk Palestin Menjadi Sebuah Negara – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Ini keputusan Netanyanhu, bukan saya” – Donald Trump Nafi Terlibat Dalam Serangan Di Qatar – Lobak Merah
Iran
Iran juga merupakan antara negara yang melarang rakyatnya memasuki negara Israel. Difahamkan juga Iran dan Israel tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, di samping Iran tidak mengiktirafkan Israel sebagai negara berdaulat.
Dasar ini berpunca daripada sokongan Iran yang konsisten terhadap Palestin dan penentangannya terhadap kewujudan Israel. Kerajaan Iran menganggap Israel sebagai ‘rejim pendudukan’ yang menindas rakyat Palestin.
Selain itu, undang-undang Iran secara jelas melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke Israel. Sekiranya seseorang warga Iran memasuki Israel atau memegang cap Israel dalam pasportnya, individu itu boleh dikenakan tindakan undang-undang setempat, termasuk penahanan dan hukuman penjara. Malah, pasport Iran sendiri menyatakan bahawa pemegangnya tidak dibenarkan memasuki Israel.
Langkah ini adalah sebahagian daripada dasar luar Iran yang sangat berpegang kepada isu Palestin dan mengekalkan solidariti terhadap perjuangan mereka. Ia juga merupakan sebahagian daripada dasar luar Iran terhadap Israel, yang sering dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan dan pidato pemimpin negara.
Kosovo
Kosovo secara rasmi tidak dibenarkan memasuki Serbia kerana Serbia tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo serta menolak sebarang dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Kosovo.
Perkara ini termasuklah dengan pasport dan cap imigresen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Kosovo. Akibatnya, warganegara Kosovo yang cuba memasuki Serbia tanpa cap masuk Rasmi akan dianggap memasuki negara tersebut secara haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Selain itu, Serbia tidak mengiktiraf sebarang laluan sempadan antara Kosovo dan negara lain sebagai laluan masuk antarabangsa yang sah. Oleh itu, jika seseorang memasuki Kosovo melalui negara lain, mereka tidak boleh memasuki Serbia dari Kosovo tanpa cap masuk rasmi Serbia.
Keadaan ini adalah sebahagian daripada ketegangan politik yang berterusan sejak Kosovo mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 2008, yang masih belum diiktiraf oleh Serbia.
Kosovo juga dilaporkan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk rancangan atau usaha membuka kedutaan di Jerusalem. Ini menjadikan ia, negara majoriti Muslim pertama yang melakukan langkah tersebut.
Korea Utara
Korea Utara juga diketahui tidak mengiktiraf Israel dan Korea Selatan sebagai negara yang sah untuk dikunjungi oleh rakyatnya, selaras dengan dasar politik luar negara mereka yang berpegang teguh terhadap prinsip anti-Barat dan sokongan terhadap Palestin.
Secara asasnya, Korea Utara adalah negara yang mempunyai sekatan ketat terhadap perjalanan keluar negara bagi warganegaranya, kerana kerajaan mengawal hampir keseluruhan pergerakan rakyatnya melalui dasar domestik yang sangat ketat.
Perkara ini termasuk kawalan penuh ke atas pasport dan kelulusan perjalanan, di mana warganegara Korea Utara hanya boleh meninggalkan negara jika mendapat kebenaran khas daripada kerajaan.
Adik kepada Pemimpin Korea Utara juga pernah menolak hasrat keamanan daripada Presiden Korea Selatan dengan menyatakan bahawa Pyongyang tidak akan pernah menganggap Seoul sebagai rakan diplomatik.
Akibatnya, kebanyakan rakyat Korea Utara tidak mempunyai kebebasan untuk membuat perjalanan luar negara secara peribadi dan hanya segelintir individu tertentu dibenarkan untuk pergi atas tujuan rasmi seperti pendidikan, kerja atau diplomasi.
Somalia
Ketegangan antara Somalia dan Taiwan semakin mendapat perhatian antarabangsa selepas keputusan terbaru kerajaan Somalia, iaitu melarang kedatangan rakyat Taiwan ke negaranya.
Menteri Luar Somalia, Ahmed Moalim Fiqi, berkata keputusan itu dibuat selepas Taiwan dikatakan telah ‘membuka pejabat yang tidak diluluskan’ yang dianggap telah melanggar kedaulatan Somalia, menurut laporan Associated Press.
Meskipun beliau tidak menjelaskan pejabat mana, dilaporkan bahawa sejak 2020 Taiwan telah menjalin hubungan diplomatik dengan Somaliland, iaitu sebuah wilayah yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia.
Sebenarnya, hubungan antara Somalia dan Taiwan menjadi tegang kerana Somalia tidak mengiktiraf kemerdekaan Somaliland dan masih menganggap negara tersebut sebahagian daripada negaranya, serta tidak banyak negara rasmi yang mengiktiraf Somaliland sebagai negara berdaulat.
Jadi apabila Taiwan menjalinkan hubungan dengan Somaliland, negara Somalia menganggap itu sebagai campur tangan dan pelanggaran kedaulatan mereka, menyebabkan tercetus ‘ketegangan’ antara dua negara ini.
Disebabkan itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Somalia telah mengeluarkan notis rasmi kepada semua syarikat penerbangan pada 22 April iaitu melarang mereka membawa penumpang yang memegang pasport Taiwan untuk masuk, transit atau keluar melalui Somalia.
Difahamkan juga, Taiwan turut mengenakan larangan yang sama terhadap rakyat Somalia.
Secara keseluruhannya, pelbagai negara mempunyai dasar dan sekatan tersendiri terhadap perjalanan warganegara mereka ke negara lain, sama ada atas alasan politik, keselamatan, atau kedaulatan. Larangan-larangan ini bukan sahaja mencerminkan pandangan politik sesebuah negara, tetapi juga menunjukkan bagaimana isu antarabangsa boleh mempengaruhi kebebasan pergerakan rakyat.
Setiap negara mempunyai pendirian yang tegas demi mengawal keselamatan negara serta identiti politik negara tersebut. Fenomena ini memberi gambaran jelas bahawa pasport juga merupakan simbol kedudukan politik dan hubungan antarabangsa sesuatu negara.
Sumber: CFR, Associated Press, Al Jazeera, Smarttraveler