Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perlaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan Selangor itu sebagai sesuatu tindakan yang tidak bersandarkan kepada kajian sains dan data yang tepat.
Bekas Menteri Belia & Sukan itu juga mempersoalkan kenapa Kuala Lumpur tidak berada dalam senarai awal seperti enam daerah di Selangor seperti yang diumumkan pada hari Selasa lalu, lapor Astro Awani.
“Contohnya pengumuman PKP di enam daerah di Selangor (Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang) pada Selasa namun, timbul persoalan mengapa Kuala Lumpur tidak disenaraikan sekali sedangkan kes di Kuala Lumpur lebih tinggi.”
Beliau jadi pelik apabila KL diumum pada keesokan harinya.
“Adakah keputusan ini dibuat kerana ramai yang meminta penjelasan kerajaan atau ia dibuat mengikut data dan sains?”
“Sekejap macam ini, sekejap macam itu. Saya sendiri tidak pasti apakah kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan.”
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga turut mempertikaikan kenapa perlaksanaan PKP tidak dilakukan di kawasan kilang jika nak dibandingkan dengan kluster awam yang jauh lebih rendah.
“Hampir separuh daripada kluster COVID-19 berpunca daripada kilang iaitu 48.06 peratus berbanding kluster awam, namun, pelaksanaan PKP tidak pula diutamakan di kawasan kilang.”
“Kluster awam yang lain jauh lebih rendah berbanding kilang tetapi mengapa tindakan kerajaan umumkan PKP tidak tertumpu kepada kawasan kilang?”
Katanya, seandainya kerajaan melaksanakan PKP itu bersandarkan pada data, tentu sekali kawasan kilang akan menjadi tumpuan dalam usaha melawan COVID-19.