Macam yang korang tahu, Sabtu lalu, bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang sedang bertanding untuk jawatan presiden pada pilihan raya akan datang telah ditembak ketika memberikan ucapan di sebuah perhimpunan yang dijalankan di Pennsylvania.
Cubaan menembak ini telah menyebabkan Trump tercedera di bahagian telinga manakala pelaku yang cuba membunuhnya itu telah ditembak mati dan seorang lagi yang hadir ke perhimpunan tersebut turut meninggal dunia.
Sejak dari dulu lagi, orang-orang terkenal memang mudah dijadikan sasaran sama ada untuk dicederakan atau dibunuh. Ekoran ini, kebanyakan pemimpin dan orang-orang terkenal ini akan dikelilingi oleh pengawal peribadi bagi mengelakkan perkara yang buruk berlaku ke atas mereka.
Namun begitu, beberapa pemimpin tetap berjaya diserang walaupun selepas mengambil langkah berjaga-jaga. Jadi apa kata kita tengok beberapa kes serangan yang pernah berlaku kepada pemimpin terkenal dunia.
1. John F. Kennedy
Pembunuhan John F. Kennedy boleh dikatakan sebagai insiden paling terkenal di dunia. Kennedy merupakan presiden Amerika Syarikat yang ke-35 dari tahun 1961 sehingga 1963. Dia telah dibunuh ketika menaiki kereta pengiring di Dallas.
John F. Kennedy merupakan orang termuda dan Roman Katolik pertama yang pernah dilantik menjadi presiden. Pentadbirannya telah bertahan selama 1,037 hari.
Pada 22 November, Lee Harvey Oswald, orang yang dituduh membunuh Kennedy menembak presiden tersebut dari tingkap tingkat enam sebuah bangunan dengan menggunakan satu senapang yang dipesan melalui pos.
Oswald telah melepaskan tiga tembakan yang membunuh Kennedy dan mencederakan Gabenor Texas, John B. Connaly sebelum mengambil bas dan teksi untuk balik ke rumahnya.
Bagaimanapun, lelaki ini telah ditahan pihak polis ketika dalam perjalanan dan pada 23 November dia telah didakwa atas pembunuhan tersebut.
Pada pagi 24 November, ketika dia nak dipindahkan dari penjara ke tempat soal siasat, Oswald telah ditembak oleh seorang pemilik kelab malam, Jack Ruby.
Jack Ruby telah dibicarakan dan didapati bersalah atas pembunuhan tersebut pada 13 Mac 1964 dan dijatuhkan hukuman mati. Kemudian, pada Oktober 1966, Mahkamah Texas telah cuba untuk menukar hukuman tapi belum sempat perbicaraan baru bermula, Jack telah meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi kanser pada 3 Januari 1967.
2. Abraham Lincoln
Abraham Lincoln merupakan presiden Amerika Syarikat yang ke-16 dan telah berkhidmat dari tahun 1861 sehingga 1865 iaitu ketika Perang Saudara Amerika dan merupakan orang yang bertanggungjawab membebaskan hamba.
John Wilkes Booth, salah seorang ahli keluarga pelakon terkenal pada abad ke-19 merupakan orang yang bertanggungjawab membunuh Abraham Lincoln. Booth merupakan penyokong tegar perjuangan Selatan dan lantang menyokong perhambaan serta sering mengutarakan kebenciannya terhadap Lincoln.
Pada musim luruh 1864, Booth mula merancang penculikan Presiden Lincoln dan mengambil beberapa orang untuk bersama-sama melaksanakan rancangan ini dan sepanjang musim sejuk, kumpulan ini telah berkumpul beberapa kali di Washington, D.C., di mana mereka telah merancang beberapa cara untuk melakukan penculikan tersebut.
Setelah gagal dalam beberapa percubaan, Booth telah membuat keputusan untuk memusnahkan Lincoln dan pegawai-pegawainya dengan apa cara sekali pun.
Jadi, pada pagi 14 April 1865, Booth mendapat tahu bahawa Lincoln akan hadir ke satu persembahan jenaka di sebuah teater di Washington. Dia kemudiannya telah memberi tugas kepada ahli-ahlinya termasuk membunuh Setiausaha Negara, William Seward. Manakala dia sendiri akan membunuh Lincoln.
Lebih kurang jam 6 petang, Booth telah masuk ke dalam teater tersebut dan menyelinap ke dalam tempat duduk presiden dan menemui Lincoln dan tetamunya yang lain ada di sana tanpa perlindungan.
Booth telah mengangkat pistol dan menembak Lincoln di di belakang kepala sebelum melompat keluar dari tempat tersebut sehingga patah kaki kari namun berjaya melepaskan diri melalui lorong belakang bersama kudanya. Lincoln meninggal dunia keesokan harinya.
Sebelas hari kemudian, pada 26 Aril, tentera telah tiba di sebuah ladang di Virginia di mana seorang lelaki yang dikatakan mirip Booth telah menyorok di sana. Booth yang tak mahu menyerahkan diri telah ditembak dan kemudiannya meninggal dunia.
Mayat lelaki tersebut telah disahkan oleh seorang doktor yang pernah menjalankan pembedahan ke atas Booth pada tahun sebelumnya. Namun begitu, tak ada bukti lain yang mengesahkan lelaki yang dibunuh itu Booth sebenar atau pun tidak.
3. Martin Luther King
Martin Luther King merupakan seorang paderi dan aktivis sosial yang mengetuai pergerakan hak sivil di Amerika Syarikat dari pertengahan 1950-an sehingga kematiannya pada tahun 1968.
Bertahun-tahun selepas kematiannya, King masih merupakan salah seorang pemimpin Afrika-Amerika yang sangat dikenali di eranya. Malah beberapa negeri di Amerika Syarikat juga turut memberikan cuti sempena mengingati figura penting ini.
Manakala pembunuhnya, James Earl Ray merupakan penjenayah kecil-kecilan, perompak stesen minyak dan kedai serta pernah dipenjarakan beberapa kali.
Pada 4 April 1968, Ray telah menembak King dari tingkap satu rumah berhampiran ketika pemimpin itu sedang berdiri di balkoni sebuah motel di Memphis, Tennessee. Ray kemudiannya telah melarikan diri ke Toronto dengan menggunakan pasport Kanada dari agensi pelancongan dan terbang ke London pada 5 Mei dan Lisbon pada 7 Mei di mana dia telah mendapatkan pasport Kanada kedua pada 16 Mei dan kembali ke London pada 17 Mei.
Pada 8 Jun, dia telah ditahan oleh polis London di Lapangan Terbang Heathrow ketika dia cuba untuk menaiki penerbangan ke Brusssels. Di Memphis, Ray telah mengaku bersalah sekaligus tidak dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara 99 tahun. Namun, beberapa bulan kemudian dia telah menarik balik pengakuan tersebut.
Pada Jun 1977, Ray telah melarikan diri dari penjara dan sempat bebas selama 54 jam sebelum dia ditahan semula oleh pihak berkuasa.
4. Mahatma Gandhi
Mohandas Karamchand Gandhi merupakan seorang pemimpin gerakan nasionalis India menentang pemerintahan British. Dia telah dihormati oleh orang di seluruh dunia ekoran caranya yang membuat protes tanpa kekerasan untuk mencapai kemajuan politik dan sosial.
Namun begitu, kekecewaan terbesar Gandhi adalah apabila India mendapat kemerderkaan tanpa perpaduan di India. Ketika perlembagaan terakhir sedang dirundingkan, telah berlaku rusuhan di antara orang Hindu dan Muslim sehingga rayuan Gandhi untuk berbincang secara damai telah diabaikan.
Apabila Pakistan dipisahkan dari India, Gandhi telah berusaha untuk mengamankan konflik tersebut dengan melawat kawasan-kawasan rusuhan di Bengal dan Bihar. Namun usahanya ini turut dikecam oleh kedua-dua kominiti. Apabila perbincangan gagal, Gandhi telah berpuasa dan tindakannya ini berjaya menghentikan rusuhan di Calcutta pada September 1947 dan membuat Delhi untuk melakukan gencatan senjata pada Januari 1948.
Beberapa hari kemudian, pada 30 Januari 1948, ketika Gandhi dalam perjalanan untuk sembahyang di Delhi, dia telah ditembak oleh seorang fanatik Hindu, Nathuram Godse.
Nathuram percaya bahawa Gandhi telah melayan Muslim dengan lebih baik dari Hindu dengan menggunakan Quran ketika mengajar di kuil Hindu tapi enggan membaca kitab Hindu di masjid.
Godse telah menembak Gandhi sebanyak tiga kali dan lelaki ini telah meninggal di tempat kejadian. Godse telah ditahan dan beberapa bulan kemudian pembunuh ini mengatakan yang dia telah tunduk hormat kepada Gandhi sebelum melepaskan tembakan tersebut.
5. James Garfield
James A. Garfield merupakan presiden Amerika Syarikat ke-20 dan merupakan presiden paling singkat berkhdimat dalam sejarah iaitu dari 4 Mac hingga 19 September 1881.
Pada 2 Julai 1881, selepas empat bulan berkhidmat, Garfield dalam perjalanan untuk melawat isterinya yang sakit di Elberon, New Jersey apabila dia ditembak di belakang di stesen kereta api di Washington D.C oleh Charles J. Guiteau seorang lelaki yang berang kerana tak dapat kerja kerajaann. Lelaki ini kemudiannya telah menyerahkan diri kepada pihak polis.
Selama 80 hari selepas tembakan tersebut, Garfield hanya terbaring kesakitan dan hanya boleh menjalankan satu tugas rasmi iaitu menandatangani perjanjian extradisi. Sebelum ini dipersetujui, sekiranya perkara ini berlaku, timbalan presiden akan diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk meneruskan tugas presiden. Namun tak diketahui sama ada perlu memegang jawatan sebagai pemangku atau menjadi presiden seterusnya.
Tak cukup dengan itu, rawatan Garfield telah disalah urus oleh doktor yang tidak menggunakan antiseptik. Mereka telah beberapa kali memegang luka tanpa menggunakan tangan dan alatan bersih sehingga menyebabkan keadaannya menjadi lebih teruk ekoran jangkitan dan komplikasi.
Garfield kemudiannya meninggal dunia ekoran jangkitan dan pendarahan dalaman disebabkan oleh luka tembakan dan rawatan susulan yang gagal.
Jawatan presiden telah digantikan oleh timbalan presiden Chester A. Arthur dan pembunuhan ini telah menyebabkan bantahan nasional untuk pembaharuan perkhidmatan awam, di mana Akta Pembaharuan Perkhidmatan Awam Pendleton 1883 telah dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan rasuah dengan menjadikan pekerjaan kerajaan diberikan berdasarkan merit dan bukannya hubungan politik.
Garfield telah diingati atas tempoh perkhidmatannya yang pendek dan kematian tragiknya. Ia juga turut mengubah cara pengendalian rawatan serta proses pengambilan kerja kerajaan.
Sumber: Britannica