Umum mengetahui, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2024 sudah pun melabuhkan tirainya awal Februari lalu.
Pun begitu, berdasarkan data yang direkod Kementerian Pendidikan (KPM) seramai 8,076 calon SPM gagal hadir bagi menjawab peperiksaan tersebut.
Artikel berkaitan: 900 Pelajar Di Johor Anggap SPM Tak Penting Sebab Boleh Dapat Gaji Besar Di Singapura
Artikel berkaitan: Buat Bising Dengan Tunggang Motosikal Ramai-ramai Lepas Habis SPM, Sekumpulan Pelajar Ditahan Polis
![pic premiun spm](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/02/pic-premiun-spm-300x200.webp)
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata daripada jumlah itu, seramai 6,231 adalah calon sekolah KPM.
“Berdasarkan analisis daripada Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 adalah bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara,” katanya.
Beliau juga berkata, bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 386,739 calon baru sudah mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, di mana 345,129 daripadanya adalah calon sekolah KPM.
Fadhlina juga berkata, KPM sudah melaksanakan intervensi antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar memudahkan pihak sekolah melaksanakan intervensi.
“Turut dilaksana, melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta.
Kebersamaan dalam melaksanakan tindakan ini menunjukkan usaha yang optimum daripada semua pihak,” katanya.
Selain itu katanya, KPM turut memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk memantau kehadiran murid ke sekolah dan peperiksaan SPM.
Sumber: Harian Metro