Setelah kecoh semalam berita penangkapan seorang anak VIP yang dikatakan melanggar SOP COVID 19, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam mengesahkan anak perempuannya dan menantu antara 27 orang yang ditahan dalam serbuan dekat sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Menurut Harian Metro, anak dan menantu Mukhriz telah dikenakan kompaun RM1,000 mengikut kesalahan yang mereka lakukan iaitu tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Memang benar anak dan menantu saya dibawa ke balai (polis) bersama dengan 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar ‘curfew’ PKPP.
“Mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikompaun RM1,000 dan semua sudah bayar (kompaun) termasuk anak dan menantu saya,” jelas Mukhriz.
“Saya sudah pesan supaya tidak melanggar SOP”
Tambah Mukhriz lagi, memang wajarlah anak dan menantunya dikenakan tindakan kerana mereka tidak mengikuti SOP yang ditetapkan.
“Saya sudah pesan kepada semua ahli keluarga supaya tidak melanggar SOP ketika musim PKPP ini, memanglah rasa kecewa (tetapi) perlanggaran itu tetap berlaku.
“Kita sudah beri teguran dan memang patutlah dia kena kompaun yang dikenakan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz juga telah mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana tegas dan mengambil tindakan secara adil dan saksama tanpa pilih kasih dalam pematuhan PKPP ini.
Baguslah tak perlu lagi kita berteka-teki. Bapanya sendiri mengaku itu anaknya.
Baca: Cucu Pemimpin Politik Terkenal Didakwa Berada di Pub & Langgar PKPP?