“Saya menyesal… sepatutnya saya pertahankan Adik tetapi kerana faham keadaan ibunya yang mungkin menanggung rindu, jadi saya rela dan biarkan dia kembali ke pangkuan mereka.”
“Tetapi saya tidak menyangka anak yang ditatang bagai minyak penuh, hilang sekelip mata dalam keadaan sebegitu.”
Itu adalah luahan menyayat hati Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang meninggal dunia pada Jumaat dipercayai akibat didera.
Memetik laporan Harian Metro, kali terakhir Norlida bertemu anak angkatnya yang mesra disapa Adik itu adalah pada penghujung tahun lalu di Rawang, Selangor yakni sebulan selepas dia diserahkan kembali kepada keluarganya di Krubong, Melaka Tengah.
“Ada sekali kami berpeluang bertemu dengannya (Adik) secara senyap-senyap di kedai makan di Rawang ketika Adik dibawa bapa tirinya berjumpa kami dan Adik pernah cakap dia rindu Ummi (panggilan Norlida),” katanya.
Talian telefon disekat
Difahamkan, selepas Norlida menyerahkan anak angkatnya itu kepada keluarganya, mereka tidak berpeluang untuk berjumpa. Malah, talian telefonnya juga disekat.
Norlida dilapor telah menjadi ibu angkat kanak-kanak terbabit semenjak enam tahun lalu. Berita pemergiannya memberi kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan.
Dalam temu bualnya bersama mStar, Norlida sedang mengusahakan untuk membawa pulang jenazah anak angkatnya itu untuk dikebumikan di Rawang.
“Selepas selesai urusan bedah siasat, saya berharap kami diberi kebenaran untuk bawa pulang jenazah Adik dekat kediaman keluarga kami di Rawang, supaya dapat ziarah pusaranya selalu,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan kes seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang maut disyaki didera ibu kandung dan bapa tiri.
Pasangan itu yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, lapor Astro Awani.
Sumber: Harian Metro, mStar