Seorang lelaki yang tular atas tindakan agresif menunjal kepala seorang pemandu wanita baru-baru ini menangis ketika membuat rayuan di Mahkamah Majistret hari ini selepas dia mengaku bersalah atas satu lagi dakwaan mencederakan 2 orang pekerja restoran pada Ahad lalu.
Tertuduh yang dikenali sebagai Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tidak dapat menahan sebak saat mengemukakan rayuan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman, lapor Kosmo!
Dalam pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V. Dennis Pillai, 23, dan lelaki warga India, Samir Das, 28.
Sumber melaporkan bahawa tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Tanah Rata, Cameron Highlands pada pukul 4.20 petang, 4 Jun 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh yang juga penyelia di sebuah kilang di Serdang, Selangor itu tidak diwakili peguam.
Dengan nada sebak dan teresak, Mohammad Zaim memohon dikenakan hukuman denda yang paling minimum, kerana ada tanggungan seorang anak dan isteri yang kini sedang sarat hamil.
Dia juga mengakui menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Saya mohon hukuman denda kerana kes pertama (di Penjara Tapah), telah dikenakan penjara tujuh hari. Saya mempunyai anak yang masih kecil dan isteri yang hampir bersalin.
“Saya merayu untuk membayar denda. Saya berasa bersalah dan menyesali perbuatan yang dilakukan. Saya janji tidak akan ulangi perbuatan itu lagi,” katanya
Dalam pada itu Punitha meminta agar hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakannya itu sengaja mendatangkan kecederaan kepada dua mangsa tanpa sebab munasabah. Jelasnya, kedaa-dua mangsa mengalami trauma akibat perbuatan tertuduh.
“Saya percaya, jika tertuduh tidak berpuas hati dengan perkhidmatan di restoran itu, tertuduh boleh membuat aduan tanpa mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Qasiratul Jannah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan hari dan denda sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh ditangkap pada semalam.
Tertuduh juga berdepan hukuman penjara sembilan hari lagi jika gagal membayar denda berkenaan.
Baca : “Bukan tunjal kepala je” – Wanita Dakwa Lelaki Lagak Samseng Pernah Tampar Pekerja Restoran?