Seorang kaunselor eHati menitiskan air mata dan mengaku berasa malu di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu sebelum dijatuhi hukuman denda RM4,000 kerana mendedahkan anggota badan sehingga menimbulkan persepsi menghina agama Islam dalam sebuah program motivasi dua bulan lalu.
Siti Zaama Rizal Boss, 49, menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin.
Mahkamah turut memerintahkan beliau dipenjara selama sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Ketika prosiding, Siti Zaama yang kini tidak bekerja memaklumkan bahawa insiden itu berlaku ketika beliau menghadapi masalah rumah tangga.
“Saya malu dengan diri sendiri, berasa rendah diri dan menanggung trauma yang kuat seorang diri.
Saya cuma nak buang perasaan berkenaan dan meningkatkan keyakinan diri kerana ketika itu, saya menghadapi masalah rumah tangga sehinggakan tidak sedar telah melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.
Tidak diwakili peguam syarie, beliau turut menjelaskan hanya mampu membayar RM500 memandangkan dia dan suaminya kini tidak bekerja.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Zaama didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badan yang sepatutnya tidak boleh dilihat orang lain menurut hukum syarak.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah dewan dalam pusat konvensyen di Shah Alam, antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian
