Bapa kepada pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia dipercayai dirempuh kenderaan yang dipandu seorang guru wanita reda dengan insiden tragis yang menimpa anaknya.
Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata, dia sedia memaafkan guru berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis berhubung kejadian itu.
“Sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan dan selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Saya juga reda dengan takdir yang menimpa anak saya dan kami sekeluarga,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai insiden itu, Mohd Azaudin berkata guru berkenaan mengakui melanggar anaknya ketika dia berada di lokasi kejadian.
“Malah ketika berada di lokasi semalam pun sebaik melihat jasad anak terbujur kaku, saya hanya bertanya siapa yang melanggar anak saya dan guru berkenaan mengaku bahawa dia yang melanggar Nur Fatimatul Hawa.
“Namun saya tidak berkata apa-apa termasuk memarahi dan sebagainya sebaliknya hanya berdiam diri,” jelasnya.
Artikel berkaitan: Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh Kereta Ketika Pakai Kasut Di Depan Surau Sekolah
Artikel berkaitan: Dipercayai Dilanggar, Tapir Jantan Seberat 250kg Ditemui Mati Di Kemaman

Sementara itu, ibu saudara Nur Fatimatul Hawa yang juga penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu menyatakan buat masa ini mereka sekeluarga masih tidak dapat berfikir dengan jelas.
Menurut Zuraifah Noor, pihaknya belum bersedia untuk mengambil sebarang tindakan kerana mahu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Tambahnya lagi, kejadian yang berlaku memang tidak masuk akal jika difikir secara logik memandangkan lokasi kemalangan bukan kawasan yang sepatutnya dilalui kenderaan.
“Tapi kita percaya ini semua ketentuan Allah SWT.
“Kita manusia, tiada siapa yang mahu melanggar orang dengan sengaja. Apa yang berlaku di luar jangka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Nur Fatimatul Hawa meninggal dunia manakala seorang lagi rakan cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu guru.
Guru berkenaan didakwa tertekan pedal minyak sebelum terbabas lalu melanggar dua pelajar perempuan yang baru sahaja selesai menunaikan solat zuhur.
Guru yang berusia 57 tahun itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sumber: Harian Metro
