Ibu bapa kepada murid lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan kritikal kerana tercekik gula-gula ‘gummy’ memaklumkan anaknya kini sedang tenat.
Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, bapa kepada kanak-kanak lelaki bernama Mohamad Fahmi, mohon mendoakan kesejahteraan dan keajaiban untuk anak sulungnya.
Fakhruddin berkata, kali terakhir dia dan isteri dapat melihat anaknya pada jam 8.30 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan sudah berjumpa dengan doktor yang merawat.
Artikel berkaitan: Belum Sedarkan Diri Lagi, Murid 10 Tahun Kritikal Tercekik Makan Gula-gula ‘Gummy Mata’
Katanya, Fahmi kini masih tidak menunjukkan apa-apa perkembangan dan doktor sedang berusaha merawatnya.
“Saya lihat air matanya bertakung seolah-olah menahan sakit. Doktor beritahu mereka sedang berusaha merawat dan dia hanya bergantung kepada mesin bantuan oksigen.
“Jika tiada perkembangan, mereka akan hentikan pemberian ubat bagi melihat perkembangan seterusnya.
“Luluh hati saya, seorang anak yang ceria tiba-tiba dalam keadaan begini. Pada masa ini kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berserah kepada kuasa Allah SWT.
“Tragedi yang menimpa anak sulung kami ini amat mengejutkan, kami tiada daya menghalangnya,” katanya.
Terdengar seperti suara anak memanggil
Mengulas lanjut, Fakhruddin cuba untuk lelap seketika di ruang menunggu namun terjaga apabila terdengar seolah-olah Fahmi memanggilnya.
“Betul dan jelas kedengaran Muhamad Fahmi panggil saya ‘baba’, seketika kemudian barulah tersedar ia hanya mimpi atau perasaan saya.”
Kesal ada yang salahkan anaknya membeli gula-gula
Dalam pada itu, Fakhruddin menyatakan bahawa dia tidak menyalahkan mana-mana pihak ke atas tragedi yang menimpa anaknya.
Namun, dia sedikit kesal apabila ada sesetengah individu menyalahkan anaknya kerana membeli gula-gula berkenaan.
“Kami sudah menderita menanggung semua ini, cukuplah beri ulasan negatif malah ada yang menyalahkan anak saya. Fahmi tidak tahu apa-apa dan sendiri tidak tahu bahawa perkara ini akan berlaku.
“Kami hanya perlukan sokongan dan doa masyarakat serta berharap semua ini tidak akan berlaku kepada kanak-kanak lain,” katanya.
Dalam laporan semalam, gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah.
Sumber: Berita Harian