Prosiding mahkamah melibatkan kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella yang diadakan semalam menyaksikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen yang dia menyayangi remaja itu lebih daripada anak-anak lain kerana mempunyai perwatakan yang manja dan kelakar.
Menurut Astro Awani, Bainun juga berkata dia tiada keperluan untuk mengambil remaja perempuan itu semata-mata untuk menyimpan dan menderanya.
Sejak mengambil Bella pada Julai 2020, Bainun juga mengakui tidak pernah mendapat duit dan mengutip derma untuk menyara Bella, selain tidak mendapat bantuan bagi menguruskan remaja perempuan itu.
Saya perlu menjual roti, kek, pasta dan mengambil tempahan katering untuk menampung tujuh anak saya termasuk Bella.
“Katering pun saya yang masak sendiri di rumah ibu dan tidak suruh pun anak-anak saya tolong, kecuali jika saya buat di kondominium. Mereka sendiri ingin membantu tanpa saya arahkan atau dipaksa,” katanya.
Bainun tak paksa Bella buat kerja, sedar kemampuan diri
Bainun juga berkata, penghuni Rumah Bonda dan anak-anak jagaannya telah diajar berdikari, berdisiplin dan berkasih sayang antara satu sama lain, walaupun mereka datang dari latar belakang kurang bernasib baik.
Tak cukup dengan itu, dia juga membenarkan Bella untuk menyapu dan mengelap pinggan kerana remaja tersebut tidak tahu membasuh pinggan dengan baik.
“Dalam fikiran saya, kalau saya sudah tiada satu hari nanti, anak-anak ini akan tahu tanggungjawab dan jaga diri mereka sendiri.
“Tetapi untuk memaksa dan menyuruh dia (Bella) membuat kerja seperti orang lain, itu tidak sama sekali kerana saya sedar dengan kemampuan dia,” katanya dalam nada sebak.
Isu Bella diikat, Bainun beri penjelasan
Selain itu, Bainun juga menjelaskan bahawa tujuan Bella diikat adalah kerana remaja perempuan itu suka merayau di waktu malam untuk makan jajan dan pernah sekali Bella minum satu karton susu kotak sampai habis sehingga menyebabkan dia cirit-birit.
Perkara itu juga telah diakui oleh saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood.
Yasmin ada kain, dia attach kaki Bella dengan kaki dia, kalau Bella bangun nak merayap dan Yasmin boleh terjaga dan suruh Bella tidur.
“Sebab itu bila tanya siapa ikat? Bella cakap Shomin. Yasmin sendiri mengaku dalam keterangannya bahawa Shomin adalah dia. Tapi ikatan itu langsung tidak kuat dan sekadar untuk keselamatan Bella.
“Buktinya Bella tidak ada kecederaan atau bengkak akibat diikat seumpama cerita saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Perbicaraan tersebut akan bersambung lagi hari ini.
Baca: Nafi Mendera, Siti Bainun Jelaskan Punca Kesan Gigitan Pada Bella